Jamal dan Aina nyanyi lagu duet Sandarkan Pada Kenangan di Lenggong, baru-baru ini.
Jamal dan Aina nyanyi lagu duet Sandarkan Pada Kenangan di Lenggong, baru-baru ini.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penghibur legenda Datuk Jamal Abdillah, 64, meluahkan hasrat mahu menghasilkan single duet dengan penyanyi popular Aina Abdul, 29, selepas ini.

Menurut Jamal, dia pernah berduet dengan Aina menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan sempena Konsert Warisan di Lenggong, Perak baru-baru ini.

"Saya juga pernah berduet dengan ramai penyanyi terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Allahyarham Siti Sarah, Dayang Nurfaizah dan Wany Hasrita dalam persembahan sebelum ini.

"Bagi saya, Aina penyanyi yang bagus dan dia ada lenggok yang lain serta tersendiri," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai single duet itu lagi, kata Jamal, dia berharap ada rezeki dan peluang untuknya bekerjasama dengan Aina nanti.

"Saya percaya jika diberi peluang untuk berduet dengan Aina tidak mustahil gandingan vokal saya dan Aina boleh buat lagu duet itu meletup nanti," katanya.

Mengulas gandingan duet dengan artis muda dan baharu, kata Jamal, itu adalah cara untuknya kekal relevan dalam industri muzik tanah air.

"Saya pernah berduet dengan Wany menerusi lagu Belenggu Rindu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini dan lagu itu menang tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

"Maklumlah, pada usia sekarang, saya sepatutnya sudah bersara tapi dengan gandingan duet dengan artis muda, saya boleh memasuki muzik mereka sekali gus kekal relevan dalam industri muzik," katanya.

Sementara itu, Aina ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, dia juga berminat untuk bekerjasama dengan penghibur legenda itu.

"Penyanyi mana yang tidak berminat untuk berduet dengan penghibur legenda seperti Datuk Jamal? "Alhamdulillah, Datuk Jamal suka dengan vokal saya dan saya sangat menghargainya.

"Sebagai artis muda, saya berasa sangat bertuah kerana mendapat perhatian dari penyanyi legenda sepertinya," katanya.

Mengenai single duet itu pula, kata Aina, jika ada lagu yang sesuai dan kuat, pasti peminatnya dan Datuk Jamal juga akan menyukainya nanti.

"Insya-Allah, jika ada masa dan rezeki untuk kami berkolaborasi, sudah pasti saya tidak akan menolaknya.

"Namun, buat masa ini, saya sibuk dengan pembikinan album solo pertama yang dijangka siap pada Oktober depan serta persiapan untuk konsert solo mega di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:08 PM