WANY Hasrita. FOTO arkib NSTP
WANY Hasrita. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi, Wany Hasrita, 30, gementar ketika proses merakamkan semula lagu Bakawali bersama rakan duet, Datuk Jamal Abdillah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, dia ada bertanya dan berbincang dengan salah seorang penyanyi asal lagu itu, Siti Nordiana atau Nana bagi mendapatkan pandangan.

Lagu asal Bakawali menyaksikan Siti Nordiana berduet dengan Syura Badron. Ia diterbitkan FMC Music pada 2001 dalam album Syura berjudul Firus. Lagu ini juga hasil ciptaan Yusri dan lirik ditulis Affendy.

"Pada mulanya, saya gementar juga nak merakamkan semula lagu Bakawali kerana kedua-dua penyanyi asalnya iaitu kak Nana dan kak Syura masih lagi aktif sebagai penyanyi. Tapi, ia atas perancangan syarikat rakaman dan saya harus akur.

"Mujur juga ketika berbincang dengan kak Nana, dia sangat memahami kerana itu bukan lagu persendirian, tapi milik syarikat rakaman. Malah, saya juga terkejut apabila Datuk Jamal sendiri bersetuju untuk terbabit dalam projek ini (rakam semula Bakawali)," katanya.

Menurut penyanyi lagu Canggung dan Menahan Rindu ini, apabila Jamal pun sudah bersetuju, takkan dia pula mahu menolak.

Katanya, sebagai penyanyi, dia cuba melaksanakan tanggungjawab diberi sebaik mungkin.

Mengulas nyanyian Jamal untuk lagu Bakawali itu, Wany berkata, ia amat menarik dan pendengar harus mendengarnya apabila dilancarkan nanti.

Lagipun, duet antara vokal lelaki dan wanita memang berbeza berbanding lagu asalnya.

Dalam perkembangan lain, Wany akan terbabit dalam Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah yang akan berlangsung di Perlis pada 29 Oktober ini anjuran Zeel Production.

Selain Wany, beberapa lagi penyanyi undangan dalam konsert itu ialah Khai Bahar, Aweera, Amir Masdi dan Amelina.

Menerusi konsert berkenaan, Wany juga pertama kali menjejakkan kaki ke Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:13 PM