Wany Hasrita bersama anak perempuannya, Aishah Al Iman.
Wany Hasrita bersama anak perempuannya, Aishah Al Iman.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Wany Hasrita, 32, menyifatkan kehadiran cahaya mata sulungnya, Aishah Al Iman, kini berusia lapan bulan adalah perkara paling indah yang terjadi dalam hidupnya.

Wany berkata, meskipun dia agak 'struggle' menguruskan Aishah sendirian berikutan suami, Mohd Al Adib Fahmi bertugas sebagai juruterbang di Kuching, Sarawak, namun dia dapat melaluinya dengan gembira.

"Aishah adalah perkara paling indah yang terjadi dalam hidup saya, walaupun tidak dinafikan 'struggle' juga menguruskannya kerana dia (Aishah) terlalu manja dan sentiasa mahu saya bersama dengannya.

"Alhamdulillah, saya seronok. Malah, saya ikut saja kata-kata ibu saya setiap kali dia nampak saya lain. Ibu akan tepuk bahu dan kata pada saya tak mengapa, ini jalan yang awak pilih dan kita semua kena melalui kehidupan ini," katanya kepada Harian Metro.

Wany ditemui hadir bersama rakan duet baharunya, penyanyi Afieq Shazwan pada sesi fotografi yang diaturkan TV3 di Studio Balai Berita, Bangsar, di sini, semalam, sempena Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL 38) yang akan berlangsung malam Ahad ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullahini, sejak bergelar ibu, dia juga sukar berenggang terlalu lama dengan anaknya itu apabila keluar bekerja kerana terlalu cepat berasa rindu.

"Kalau dulu masa bujang, fokus memang pada kerja. Tapi sampai masa apabila sudah berkahwin dan ada anak, tanggungjawab sebagai ibu kepada anak lebih diutamakan. Itu takdirnya yang kita kena jalani.

"Cuma, apa yang saya rasa mencabar bukan sebab suami jauh tapi, Aishah sekarang ada 'anxiety separation', yang mana kalau saya nak pergi dapur pun dia menangis dan kenalah bawa dia duduk tepi saya juga.

"Misalnya, apabila saya cuci pinggan di dapur dan tidak sampai lima minit, Aishah mesti minta dukung. Jadi, dari situ saya belajar bersabar dalam menguruskan penjagaan anak," katanya.

Penyanyi lagu Menahan Rindu ini berkata, dia bagaimanapun mengambil pendekatan cuba menghadapi semua cabaran menjaga anaknya dengan positif dan buat masa ini belum ada perancangan untuk menetap bersama suaminya di Sarawak.

Terdahulu, Wany bertemu jodoh dengan lelaki pilihannya, Mohd Al Adib Fahmi pada 22 Julai 2022 pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah dewan di Damansara Perdana.

Mengenai persaingan AJL38, Wany berkata, dia gembira mendapat sokongan padu daripada suaminya untuk meneruskan perjuangan walaupun rakan duet asalnya, Datuk Jamal Abdillah mengumumkan menarik diri.

AJL 38 membabitkan 12 finalis dan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, jam 9 malam di TV3 dan boleh juga distrim secara eksklusif di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:29 PM