JAMAL mahu dikenali peminat muda.
JAMAL mahu dikenali peminat muda.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI terkenal, Datuk Jamal Abdillah yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam industri muzik tanah air tidak menghalangnya untuk menyertai pertandingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

Jamal yang kembali popular menerusi single, Belenggu Rindu duet bersama Wany Hasrita, mengakui berbesar hati sekiranya lagu itu mendapat peluang untuk ke AJL akan datang.

“Kalau lagu itu mempunyai rezeki ke AJL, saya tak kisah dan bersedia untuk beraksi di pentas pertandingan itu. Bagi saya, status sebagai penyanyi senior tidak menghalang untuk bertanding.

“Jika single itu ada rezeki terpilih, saya akan menyanyi dengan sepenuh hati serta memberikan persembahan istimewa untuk peminat.

“Saya tak kisah kalau lagu itu kalah pun, asal saja dapat bertanding memberikan yang terbaik mewakili komposer dan penulis lirik,” katanya.

Menurut Jamal, duetnya bersama Wany itu adalah cara untuk dirinya dikenali dalam kalangan peminat muda.

Malah, Jamal beranggapan kerjasama dengan Wany dapat menempatkan dirinya dalam pasaran muzik terkini.

“Saya harus berfikir untuk menempatkan diri dalam arena ‘mainstream’. Jadi, lagu bersama Wany adalah salah satu caranya.

“Saya sendiri faham, lagu baharu penyanyi senior jarang diputarkan oleh radio. Menerusi duet saya bersama Wany, lagu itu mendapat sambutan dan dimainkan di radio.

“Saya sangat bersyukur dengan perkembangan ini dan perkara terbabit menjadi salah satu cara untuk saya dikenali oleh peminat muda,” katanya.

Terdahulu Jamal ditemui pada majlis prebiu bufet Sinar Ramadan 2020 di Hotel Tenera Bangi.

Pada majlis itu, Jamal turut menghiburkan tetamu yang hadir dengan beberapa lagu popularnya.

“Alhamdulillah, ini kali ketiga saya dijemput pihak hotel untuk bersama-sama mereka dalam majlis pelancaran bufet Ramadan. Insya-Allah, pada Ramadan ini saya juga akan terbabit dan menghiburkan tetamu yang datang berbuka puasa,” katanya.

Hotel Tenera menawarkan hidangan warisan yang menampilkan 200 menu enak bertemakan warisan Melayu.

Untuk sebarang informasi lanjut, layari laman Facebook dan Instagram Hotel Tenera Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 6:47 AM