Nabila Huda membeli pakaian baharu bagi digunakan ketika penggambaran.
Nabila Huda membeli pakaian baharu bagi digunakan ketika penggambaran.

Kuala Lumpur: Pelakon, Nabila Huda akan membelanjakan sebahagian bayaran lakonan dalam setiap projek drama atau telefilem untuk membeli pakaian baharu bagi digunakan ketika penggambaran.

Nabila berkata, dia sudah mengamalkannya sejak 15 tahun lalu apabila tidak mengharapkan bantuan pihak produksi untuk menyediakan pakaian bagi setiap watak yang perlu dijayakan.

"Ini adalah amalan yang saya buat sebagai pelakon sejak 2008. Saya akan belanjakan wang pendapatan dengan membeli pakaian untuk watak dalam TV.

"Selalunya saya akan habiskan 50 peratus daripadanya. Ia bergantung kepada jumlah bayaran yang diterima bagi setiap projek. Saya ada bajet sendiri.

"Kalau produksi tak boleh ikut permintaan, saya akan minta mereka carikan pakaian dan saya fokus pada persembahan lakonan sahaja," katanya dalam satu hantaran video terbaharu di Instagram.

Menerusi video itu, Nabila berkongsi bagaimana dia melakukan persiapan sebelum ke lokasi penggambaran sesebuah drama.

Lebih menarik, Nabila yang kini menjalani penggambaran drama berjudul Jodoh Geng G turut sempat keluar membeli-belah sebagai persediaan menjayakan watak Julia dalam telefilem itu.

Menurut Nabila, dia juga tidak gemar untuk meletakkan harga bayaran yang melambung tinggi, namun berkira soal modal pakaian yang terpaksa dikeluarkan.

"Saya bukan seorang yang demand gaji terlampau mahal, tapi kedekut nak keluar duit atau mengharapkan semua disediakan oleh pihak produksi mengikut cita rasa sendiri yang lebih kepada peribadi bukan sebab watak dalam drama itu.

"Selain itu saya juga akan buat 'breakdown' konti dan tentukan baju apa yang akan dipakai. Saya pilih dan susun ikut babak.

"Bukan senang nak berlakon drama. Kena berbelanja sikit untuk nampak bagus," katanya.

Dalam video terbabit, Nabila turut memberitahu situasi itu tidak sama sekiranya dia terbabit dalam penggambaran filem atau di platform penstriman kerana produksi akan menyediakan semua pakaian untuk sesuatu watak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:49 PM