PELAKON, Azhan Rani. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Azhan Rani. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


SEJAJAR pengalaman sebagai pelakon berkaliber, kanvas seni Azhan Rani untuk 2019 akan dicorak dengan teratur.

Lakonan mantap yang dipersembahkan dalam setiap karya yang dibintangi membuatkan jejaka berusia 42 tahun ini laris di pasaran.

Berbicara mengenai kariernya, Azhan baru saja selesai penggambaran dua telefilem iaitu Ikut Jejakmu dan Khutbah Terakhir.

“Telefilem Ikut Jejakmu untuk tayangan istimewa sempena Maal Hijrah dan penggambarannya berlangsung di Semporna, Sabah.

“Telefilem Khutbah Terakhir pula dilakukan di Kedah. Sangat menyeronokkan dan menarik apabila penggambaran dilakukan di luar ibu kota,” katanya.

Azhan akan kembali sibuk dengan bermulanya penggambaran drama Nur 2 esok.

“Pada pertengahan Februari depan saya akan ke set penggambaran KL Gangster Underworld 2 yang juga siri asal untuk saluran iFlix.

“Walaupun sibuk, saya masih terima tawaran watak ‘cameo’.

“Jika watak itu menarik dan sesuai, walau hanya untuk kemunculan dalam satu babak pun biasanya saya terima. Ini kerana lakonan adalah minat dan karier saya,” katanya.

Ditanya harapannya untuk meraih anugerah, Azhan berkata ia terpulang kepada rezeki. Sekiranya ditakdirkan rezeki itu ada dia terima dengan hati terbuka dan jika sebaliknya, dia tetap bersyukur.

Apa yang lebih diutamakan jejaka berjiwa besar ini adalah tawaran tidak putus.

“Saya tahu anugerah adalah satu penghargaan dan pengiktirafan. Jadi, selagi ada peluang saya akan terus mencuba. Bagaimanapun, kita kena berbalik pada rezeki.

“Setakat ini, meskipun belum ada peluang menang anugerah saya tetap gembira dengan penerimaan baik penonton terhadap semua watak lakonan saya. Itu sudah memadai,” katanya.

Menurut Azhan, bukan mudah untuk dia berada di tahap sekarang yang memerlukannya bersabar dan bersikap positif bertahun-tahun lama.

Berkongsi impiannya, Azhan berkata dia mahu mendaki Gunung Kinabalu sampai ke puncak mengikut jalan lereng bukit. Jelasnya, sebelum ini ekspedisi berkenaan pernah terkandas.

“Semoga impian ini dapat dilaksanakan bersama rakan ekspedisi saya yang lain pada April nanti. Diharapkan tidak ada halangan lagi terutama cuaca.

“Walaupun saya bukan pendaki gunung yang tegar, aktiviti mendekatkan diri dengan keindahan alam semula jadi ciptaan Ilahi sangat menenangkan jiwa,” katanya.

Sehubungan itu, untuk 2019 Azhan akan muncul dengan telefilem Terima Kasih Ibu, Restu Ayah dan Izinku Menyayangimu.

Tidak ketinggalan, Azhan juga akan tampil dengan drama 10 episod berjudul Sembil9n usaha sama terbitan produksi Malaysia dan Indonesia. Selain itu dia turut membintangi filem komedi arahanYoep Hitler.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 11:13 AM