NUR DAMIA yang berusia 13 tahun sebagai Damia dalam Kabur.
NUR DAMIA yang berusia 13 tahun sebagai Damia dalam Kabur.
Ridzuan Abdul Rahman


JARANG sekali kita menyaksikan teater untuk golongan kurang bernasib baik cacat penglihatan.

Untuk itu, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pewira) mengambil inisiatif mementaskan teater kanak-kanak berjudul Kabur.

Ia adalah teater eksperimental yang dipersembahkan untuk tontonan mereka yang cacat penglihatan.

Pengarahnya, Subroto Katimin berkata, persembahan ini memberi penekanan penggunaan deria sentuh, hidu, rasa dan dengar.

"Kabur menampilkan kisah dua orang biasa yang berhadapan dengan dua orang suspek curi. Watak jahat digambarkan memakai pakaian yang dicipta dengan material yang tebal dan kasar, bau badan yang busuk serta hamis dan suara yang garau.

"Manakala watak baik lebih lembut, pakaian yang halus materialnya, suara yang tenang dan bau badan yang wangi. Pelakon lebih banyak berinteraksi dan berdialog dengan penonton.

"Mereka juga memberi peluang kepada penonton menyentuh kostum, props dan aksesori yang mereka miliki supaya penonton yang cacat penglihatan dapat merasakan lebih dekat dengan penceritaan dan persembahan teater kanak kanak ini," katanya.

Menurutnya, teater Kabur juga tampil dengan set yang ringkas. Contohnya jika lokasinya di tepi tasik, diletakkan pasir di atas lantai serta elemen lain yang menarik.

SUBROTO (kiri) bersama tulang belakang teater ini.
SUBROTO (kiri) bersama tulang belakang teater ini.

"Ia antaranya dedaun pokok yang menyentuh pipi dan dibantu dengan kesan bunyi seperti ombak, kicauan burung ketika penonton masuk ke ruang persembahan dengan berkaki ayam.

"Ketika adegan hujan, kru akan memberi semburan air ke pipi penonton, zink digunakan untuk menghasilkan guruh. Kepada mereka yang sempurna sifat, juga boleh menonton teater ini sebagai satu pengalaman baru.

"Mereka juga boleh memilih sama ada menonton dengan mata terbuka atau menutup mata dengan kain seperti mereka yang cacat penglihatan," katanya.

Apa yang menarik, di akhir cerita, penonton akan memberi jawapan secara serentak. Siapakah pencuri dengan membaca tulisan Braille yang diberikan kepada mereka.

Teater ini membariskan Kyra Sabri sebagai Kyra, Moh Azam Rezali (Azam), Fahmi Mikael (Mikail) dan Nur Damia.

KABUR turut dibintangi Fahmi Mikael yang berusia 16 tahun.
KABUR turut dibintangi Fahmi Mikael yang berusia 16 tahun.

Kabur diterbitkan oleh Seniman Negara, Datuk Rahman Shaari, manakala Roslee Mansor bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Teater ini dipentaskan dengan Kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia, Pusat Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Persembahan berlangsung pada 22 September ini (jam 8.30 malam) dan 23 September (jam 2.30 petang dan 8.30 malam) di Panggung Percubaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 6:30 AM