FENDY kongsi sejarah hidup sebagai pemuzik OKU pada Showcase Mengharapkanmu 21 Ogos ini.
FENDY kongsi sejarah hidup sebagai pemuzik OKU pada Showcase Mengharapkanmu 21 Ogos ini.
Norhayati Nordin


SELEPAS berjaya mendapatkan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diharapkan selama ini, pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, sudah mula merangka aktiviti seninya.

Fendy nekad bangkit berusaha menjana semula pendapatannya menerusi persembahan nyanyian secara maya yang dinamakan Showcase Mengharapkanmu pada 21 Ogos ini, jam 9 malam.

Berbicara mengenai persembahan istimewanya, bapa seorang anak yang cacat penglihatan ini berkata, selagi ada kudrat dan peluang, dia tidak mahu berpeluk tubuh dengan terus mengharapkan bantuan.

"Apa yang saya harapkan sebelum ini hanya mahu mempunyai sebuah rumah mampu milik untuk berteduh dengan anak perempuan istimewa saya. Malah, sebaik ia diperoleh, Allah lancarkan pula perancangan saya untuk persembahan ini.

"Persembahan bakal diadakan ini amat bermakna kerana saya turut berkongsi sejarah hidup sebagai pemuzik orang kelainan upaya (OKU) dengan penonton. Bukan mudah perjalanan yang saya lalui dalam karier ini.

"Ditambah sejak pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun lalu, pendapatan saya dalam bidang muzik dan nyanyian terputus. Tawaran persembahan langsung tiada kerana tidak dibenarkan," katanya.

Menurut Fendy, berkat dirinya yang berjimat cermat dalam berbelanja membuatkan dia mampu bertahan dengan wang simpanan yang ada.

Namun, dia perlu terus berusaha mencari pendapatan kerana menanggung anaknya yang juga cacat penglihatan dan autisme.

BERPATUTAN, Fendy menetapkan harga tiket RM10 kepada penonton.
BERPATUTAN, Fendy menetapkan harga tiket RM10 kepada penonton.

Fendy berkata, bayaran untuk menonton persembahannya itu hanya RM10.

Katanya, harga itu berpatutan bagi memastikan orang ramai yang berminat menyaksikan Showcase Mengharapkanmu tidak terbeban dengan tiket yang mahal.

"Sejak Covid-19 ini muncul, ramai orang terjejas pendapatan dan terkesan. Oleh itu, harga tiket RM10 yang dikenakan amat berpatutan. Lagipun, dalam keadaan berdepan tekanan hidup sekarang kita semua pastinya memerlukan sedikit hiburan.

"Bagi pemuzik OKU seperti saya pula, RM10 yang dibayar penonton itu sangat berharga buat rezeki saya dan anak. Saya harap penjualan tiket Showcase Mengharapkanmu ini mendapat sambutan baik daripada orang ramai," katanya.

Mengulas jumlah lagu akan dinyanyikan, Fendy berkata, biarlah rahsia.

Katanya, dia akan memberi persembahan terbaik dan menghiburkan penonton kerana dia ikhlas dengan kerjaya seninya.

"Saya pemuzik jalanan sebelum nama kumpulan Caliph Buskers meledak popular dan kami mendapat banyak tawaran membuat persembahan nyanyian tapi sekarang, situasi sudah berubah dan saya perlu berdikari untuk meneruskan hidup.

"Pada saya, selagi ada ruang dan peluang, rezeki pasti ada. Allah Maha Adil dan Dia akan membantu hamba-Nya yang tidak jemu berusaha. Bagi saya, dalam hidup ini tidak boleh malas, mudah kecewa dan hanya berserah pada takdir. Saya rela berusaha selagi termampu," katanya.

Maklumat mengenai Showcase Mengharapkanmu bersama Fendy secara maya ini boleh diperoleh di Facebook dan Instagram Fendy. Di situ turut diserta pautan untuk pembelian tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:47 AM