Muhammad Khalil mengalami cacat penglihatan sejak lapan tahun lalu.  FOTO Aizuddin Saad
Muhammad Khalil mengalami cacat penglihatan sejak lapan tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
Khairul Najib Asarulah Khan


“PERIT apabila nikmat pancaindera ditarik, memang sukar untuk terima namun lama kelamaan saya reda,” luah Muhammad Khalil Abdullah, 23, yang cacat penglihatan sejak lapan tahun lalu.

Dia sebelum ini normal namun kehidupannya berubah selepas doktor mengesahkannya menghidap masalah saraf penglihatan.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Khalil berkata, peristiwa itu masih segar di ingatan yang mana ia bermula selepas cahaya dilihat kelihatan hijau.

“Selepas pemeriksaan dan pembedahan ia pulih namun hanya sementara sebelum mengalami kecacatan kekal.

“Memang saya tak boleh terima ketika itu namun lama kelamaan saya berfikir positif dan meneruskan kehidupan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya bukan saja kehilangan nikmat untuk melihat malah pembelajaran dan masa depan turut terjejas,” katanya ditemui pada Sambutan Hari Tongkat Putih Peringkat Kebangsaan 2019 di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam program itu, 400 OKU cacat penglihatan berjalan dari Taman Tasik Perdana di sini ke masjid itu dengan dipimpin sukarelawan.

Ia turut disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ketua Urusetia Ketua Polis Negara, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) Silatul Rahim Dahman.

Muhammad Khalil berkata, masyarakat normal perlu menghargai nikmat yang mereka perolehi.

“Gunalah ia sebaik mungkin dengan melakukan perkara kebaikan dan sentiasa bersyukur.

“Mereka bukan saja berpeluang menikmati suasana sekeliling malah dapat melihat wajah orang tersayang, objek serta peluang kerjaya lebih cerah serta lain-lain berbanding golongan seperti kami yang terhad,” katanya yang bekerja sebagai tukang urut di ibu kota.

Fahmi (dua dari kiri) bersama Ramli (kanan) menyaksikan penyampaian sumbangan Hotel Hilton Kuala Lumpur kepada YOBM hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Fahmi (dua dari kiri) bersama Ramli (kanan) menyaksikan penyampaian sumbangan Hotel Hilton Kuala Lumpur kepada YOBM hari ini. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, sukarelawan Nur Aqilah Abdul Halim, 24, berkata, selepas menyertai program itu dia lebih memahami apa yang dilalui mereka yang cacat penglihatan.

“Kadang kala kita tidak sedar, mereka ini hanya melalui sentuhan saja untuk merasai sesuatu termasuk makanan.

“Dari segi warna dan bentuk makanan mereka tak tahu. Hati saya tersentuh melihat kehidupan mereka dan sesungguhnya mereka sangat kuat menempuh dugaan itu,” katanya.

Nur Aqilah berkata, dia juga mengharapkan masyarakat normal segera memberi bantuan jika melihat golongan itu mahu melintas jalan atau sebagainya.

“Ini disebabkan mereka sebenarnya segan meminta pertolongan. Jadi kita perlu tampil membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 8:05 PM