Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Usia lanjut dan kecacatan tidak menghalang wanita ini belajar membaca al-Quran menggunakan teknik Braille sejak empat bulan lalu selepas kedua-dua matanya kabur.

Mayasuri Hassan, 54, berkata penglihatannya semakin kabur seiring peningkatan usia selain akibat penyakit saraf belakang retina ketika berusia 14 tahun.

Menurutnya, sebelum ini dia boleh membaca al-Quran seperti individu normal, namun tahap penglihatannya semakin terjejas sehingga sukar membaca setiap baris sejak tahun lalu.

"Pada Oktober tahun lalu, saya sertai bengkel pengajian al-Quran menggunakan Braille di Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Bachok.

"Ternyata, menyusun jemari pada titik 'buta' di atas naskhah putih ini sukar ketika pertama kali mempelajarinya dan saya kini masih belajar di peringkat Iqra," katanya.

Norizah terpaksa belajar menggunakan braile selepas mengalami masalah rabun teruk akibat katarak mata lima tahun lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Norizah terpaksa belajar menggunakan braile selepas mengalami masalah rabun teruk akibat katarak mata lima tahun lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Katanya, cabaran utama bagi memahirkan diri membaca al-Quran bertulisan Braille adalah mengenal huruf kerana ia hanya dapat dibezakan menerusi kecekapan deria rasa jari.

"Bagaimanapun, mempelajari teknik membaca al-Quran Braille bukan mudah dan mengambil masa menguasainya apatah lagi hanya menggunakan jari untuk merasai titik pada setiap baris ayat.

"Melihat golongan dilahirkan istimewa tanpa penglihatan begitu bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran membuat saya terharu dan ujian Allah SWT ini bukan kebetulan, tetapi perancangan-Nya dan mesti ada hikmah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 7:00 AM