MOVING pantas menjadi drama Korea yang mendapat tontonan tinggi.
MOVING pantas menjadi drama Korea yang mendapat tontonan tinggi.
Georgie Joseph


Antara drama Korea Selatan yang kian diperkatakan sekarang ialah Moving.

Drama menampilkan genre adiwira itu nyata mencetus angin segar dari negara terbabit.

Banyak elemen menarik ditonjolkan termasuk perisikan, kuasa luar biasa dan pembunuh membuatkan drama arahan Park In-je pantas menjadi tarikan ramai.

Menerusi sidang media pelancarannya baru-baru ini, In-je memang mahukan kualiti karya itu setaraf Avengers. Justeru, mereka melakukan sebaiknya penggambaran terbabit agar impaknya menjadi.

"Drama ini dihasilkan setaraf kualiti penggambaran filem. Kalau lihat durasinya, seperti menggabungkan 10 buah filem. Seperti kita tahu, bajetnya pun memang sangat besar.

"Saya rasa produksi kami seperti produksi Avengers. Kami ada barisan pelakon yang ternama, kru menakjubkan dan berganding bahu memastikan drama ini menjadi karya agung.

"Kami mahu tampilkan naskhah yang jelas tinggi kerja-kerasnya. Tapi pada masa sama memberikan gambaran kami berjaya melakukannya dengan penuh keseronokan," katanya.

Menampilkan barisan pelakon yang cukup ternama, Kim Hee Won yang melakonkan Choi Il-hwan cukup terharu menjadi sebahagian daripadanya. Baginya ia sebuah naskhah yang tidak harus dilepaskan.

Paling menyentuhnya adalah watak digalas itu sememangnya direka khusus untuk dirinya. Sekali gus menjadikan drama itu terlalu besar maknanya secara peribadi.

"Penulisnya datang kepada saya dan rasanya memang terfikirkan saya ketika menulisnya (Moving) untuk watak itu. Latar belakangnya termasuk sekolah sebenarnya memang tempat saya bersekolah dulu.

"Jadi watak itu sangat membantu saya untuk hidupkannya. Tak susah sangat pun dan tak tuntut imaginasi yang sangat tinggi. Tapi disebabkan saya kena pandu bas, saya perlu ambil lesen bas.

DRAMA bergenre adiwira segar Korea Selatan setanding Avengers jadi tarikan baharu penonton.
DRAMA bergenre adiwira segar Korea Selatan setanding Avengers jadi tarikan baharu penonton.

"Penggambarannya memang sangat menyeronokkan dan tidaklah terlalu sulit. Barisan pelakonnya pun sangat menarik dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Demikian juga dirasakan pelakon senior, Kim Sung Kyun yang menghidupkan watak Lee Jae-man. Dia paling suka apabila produksi itu dibuat dengan begitu teliti dan semua yang terbabit tunjuk usaha keras.

"Saya sebenarnya sangat bangga menjadi sebahagian daripada drama ini. Ia satu penghormatan besar untuk dibariskan dengan senarai pelakonnya. Saya tidak was-was pun untuk menerima tawaran membintanginya.

"Kami masing-masing melakukan sehabis baik untuk hidupkan drama itu. Saya yakin kami berjaya melunaskan tanggungjawab berkenaan," katanya.

Menariknya, siri asal terbitan Disney+ (Hotstar) mendapat tontonan tertinggi di platform penstriman berkenaan selepas seminggu ditayangkan. Ia termasuk di Asia Tenggara, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Moving ditayangkan di 65 negara termasuk Amerika Syarikat sejak 9 Ogos lalu.

Antara barisan pelakonnya termasuk Go Yoon Jung, Han Hyo-joo, Zo In-sung, Lee Jung-ha, Ryu Seung-ryong, Kwak Sun-young, Kim Do-hoon, Ryoo Seung-bum, Cha Tae-hyun, Kim Shin-rok, Park Hee Soon, dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 6:47 AM