PERKUKUH nama sebagai aktor berkaliber lepas diberi peluang kedua.
PERKUKUH nama sebagai aktor berkaliber lepas diberi peluang kedua.
Ardini Sophia Sina


Antara puluhan filem lakonan Robert Downey Jr, watak yang benar-benar meninggalkan kesan di hati penonton ialah Iron Man. Melakonkan watak itu sejak 2008, tidak ada pelakon lain yang mampu mengangkat karakter itu sehebat dia.

Masa pantas berlalu, sudah sedekad Downey dikenali sebagai Tony Stark atau Iron Man. Fenomena filem Iron Man terbitan Marvel Studios membawa perubahan besar dalam karier seni pelakon berusia 53 tahun ini.

Iron Man adalah adiwira pertama diangkat daripada Marvel Comics sebagai filem. Kemunculan naskhah itu dalam bentuk visual melonjakkan nilai adiwira Marvel.

Tanpa Iron Man, barisan adiwira Marvel mungkin sukar diperkenalkan kepada umum dalam bentuk filem. Begitupun, Downey tidak meletakkan dirinya sebagai anak emas Marvel Cinematic Universe.

“Kejayaan filem terbitan Marvel Studios bukan hanya usaha saya seorang. Ia bermula dengan kerjasama produser, pengarah, kru dan pelakon yang berani mencuba nasib menerusi filem Iron Man.

“Saya yang patut berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kepercayaan untuk melakonkan watak ini. Ia membawa impak besar dalam kerjaya saya.

“Malahan, umum lebih mengenali saya sebagai Iron Man walaupun saya berlakon dalam filem lain. Marvel membawa kerjaya saya ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Lima tahun bergelut dengan masalah ketagihan dadah, Downey yang berjaya meninggalkan dunia gelap itu menggunakan peluang kedua untuk terus mengukuhkan namanya sebagai pelakon berkaliber di Hollywood.

Sebelum Avengers Infinity War ditayangkan di pawagam, Downey pernah memberikan kenyataan bahawa Iron Man berkemungkinan akan mati dalam filem francais itu seolah-olah memberikan gambaran wataknya akan berakhir.

“Saya sudah terlalu lama memegang watak Iron Man. Walaupun saya berlakon dalam projek lain, umum masih kaitkan saya dengan karakter berkenaan. Iron Man menenggelamkan karakter lain yang saya pernah bawa.

“Saya ingin meneroka lebih banyak watak dan genre karya lain. Saya juga berasakan usia saya semakin tua untuk watak ini.

“Pelakon Spider-Man sudah bertukar ganti tetapi selama 10 tahun saya masih melakonkan watak Iron Man. Bukan bosan atau ingin berhenti, saya akan terus bersama Marvel selagi kehadiran diperlukan,” katanya.

Tempoh itu juga mengubah hubungannya dengan pelakon adiwira dalam Avengers. Mereka tidak hanya sekadar kawan tetapi sudah seperti keluarga besar.

Walaupun sibuk dengan komitmen masing-masing, mereka saling bertanya khabar dan menantikan penggambaran seterusnya untuk berjumpa dan bertukar cerita.

Baru-baru ini, Downey berkongsi gambar sedang membuat tatu Avengers di lengannya. Selain dia, pelakon Avengers seperti Chris Evans, Scarlett Johansson, Chris Hemsworth dan Jeremy Renner turut mempunyai tatu sama.

“Keakraban kami tidak hanya di lokasi penggambaran. Kami sudah lama bersama dan rapat seperti adik-beradik. Sebagai Avengers, matlamat kami menentang kejahatan tetapi sebagai pelakon, kami bekerjasama untuk menghasilkan karya berkualiti.

“Tatu ini idea Scarlet. Dia dan Evans mencacah logo Avengers ketika berada di New York. Pelukis tatu mereka kemudian terbang ke Los Angeles untuk melukis tatu pada saya, Jeremy dan Hemsworth,” kata Downey.

Sebagai seorang pelakon yang mendapat bayaran paling mahal di dunia, Downey berterima kasih kepada mereka yang mempercayai bakatnya.

Walaupun tidak sekaya Tony Stark, hasil pendapatan yang diterima daripada penampilannya sebagai Iron Man cukup membuatkan kehidupannya selesa bersama isteri dan dua orang anak.

“Terlalu banyak karya bermutu yang menjadikan saya seperti sekarang. Saya harus berterima kasih kepada mereka kerana peluang yang diberikan itulah yang banyak membantu saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Downey akan muncul dalam Avengers 4 yang dijadualkan tayangannya tahun hadapan. Selain itu, dia juga akan kembali ke lokasi penggambaran Sherlock Holmes 3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:59 AM