Puteri Sarah berkongsi kegembiraan bersama pasangan selebriti Janna dan Dini di media sosial.
Puteri Sarah berkongsi kegembiraan bersama pasangan selebriti Janna dan Dini di media sosial.

Kuala Lumpur: Kehadiran pelakon Puteri Sarah Liyana ke majlis pernikahan pasangan selebriti sensasi, Janna Nick dan Dini Schatzmann di Langkawi hari ini, menerima pandangan pelbagai peminat.

Ada dikalangan mereka mempertikaikan kehadiran Puteri Sarah pada majlis berkenaan sedangkan dia gagal ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor untuk memfailkan jawapan afidavit terhadap permohonan lanjutan injuksi yang dibuat suaminya, Syamsul Yusof pada 8 Jun lalu atas alasan sakit mata.  

"Kata sakit mata tak boleh datang mahkamah. Ni elok saja," tulis seorang warga maya.

Komen ini mendapat respon Puteri Sarah yang membalas dengan jawapan tersendiri.

"Ya memang hari itu sakit mata. Dah lima hari. So sakit mata tak akan sembuh ke? Kena sakit mata sampai kiamat," tulisnya sinis dengan disertai dengan emoji ketawa. 

Bagaimanapun rata-rata pengikut Puteri Sarah menyambut positif perkongsian gambarnya bersama pasangan suami isteri terbabit.

Sarah, 37, berkongsi perasaannya menerusi Instagram apabila menulis kata-kata yang menyentuh perasaan. 

"Terima kasih atas persahabatan indah yang kita kongsikan. Saya berbesar hati untuk melihat kamu berkahwin dengan orang istimewa buat kamu. 

"Dan saya mendoakan kamu berdua hidup bahagia selama-lamanya," tulisnya yang melahirkan perasaan teruja melihat pasangan itu.

Terdahulu Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, dan Dini atau Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, selamat melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup di Langkawi, jam 8.35 pagi ini. 

Selain Puteri Sarah, rakan-rakan artis lain yang hadir antaranya Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Nadia Brian, Mawar Rashid dan Dayah Bakar.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 7:50 PM