JANNA Nick bersama suaminya, Dini Schatzmann.
JANNA Nick bersama suaminya, Dini Schatzmann.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Janna Nick, 28, membuat keputusan mengadakan majlis pernikahannya dengan Dini Schatzmann, 29, secara tertutup dan merahsiakannya daripada pihak media kerana mahu meraikan hari bersejarah dalam hidupnya itu bersama keluarga dan teman rapatnya.

Janna ketika dihubungi berkata, dia juga mahu meluangkan lebih masa dengan tetamu yang juga teman rapatnya yang hadir pada majlis berkenaan.

"Pada masa sama, saya juga mengutamakan keselesaan keluarga yang tidak biasa dengan dunia hiburan," katanya kepada Harian Metro.

Majlis pernikahan pasangan selebriti itu berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi, Kedah, pagi semalam.

Terdahulu, dengan sekali lafaz, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, sah bergelar suami kepada Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, tepat jam 8.35 pagi semalam.

Mereka dinikahkan bapa Janna, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.

Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah itu, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri ahli keluarga dan rakan rapat selebriti terbabit.

Antara rakan artis yang hadir ialah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid dan Dayah Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 2:42 PM