USTAZ Wadi, gambar fail. FOTO NSTP
USTAZ Wadi, gambar fail. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar, mengakui meninggalkan majlis perkahwinan pasangan selebriti Janna Nick dan Dini Schatzmann lebih awal seperti didakwa warganet di media sosial, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakannya itu dibuat selepas memaklumkan kepada 'tuan rumah' untuk meninggalkan majlis berkenaan.

"Saya dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan itu dan membaca doa. Apabila sampai di majlis itu, pasangan pengantin belum sampai lagi. Sepuluh minit kemudian, pengerusi majlis mengumumkan saya membaca doa yang ketika itu pengantin tak ada lagi.

"Apabila saya nampak pengantin sampai dari hujung sana, saya beritahu PA (pembantu peribadi) bahawa kami kena balik kejap lagi dan tidak dapat teruskan majlis. Saya buat keputusan untuk tidak makan, (tidak) bergambar, (tidak) bersama mengikut tentatif sehingga ke akhir majlis," katanya menerusi rakaman video di media sosial.

Ustaz Wadi memaklumkan selepas pasangan pengantin itu berucap dan beredar, beliau terus balik dan memaklumkan kepada 'tuan rumah' mengenai niat mereka untuk meninggalkan majlis lebih awal.

Menurutnya, tindakannya itu adalah yang diajar dalam Islam iaitu tidak memalukan orang lain, menimbulkan persepsi negatif serta tidak menjatuhkan tuduhan dan fitnah.

"Hukum tetap hukum, namun pada masa sama, tidak keruhkan keadaan dan menimbulkan fitnah," katanya di akhir rakaman video berkenaan.

Terdahulu, portal media melaporkan kehadiran Ustaz Wadi atau nama penuhnya Mohamad Wadi Annuar Ayub yang hadir membaca doa dalam majlis perkahwinan pasangan selebriti berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Rata-rata warganet memberi pendapat bahawa Janna sepatutnya mempunyai akal budi mengundang agamawan apatah lagi tampil dengan persalinan pengantin tidak menutup aurat selain segelintir rakan artis yang turut berpenampilan sama.

Pada 10 Jun lalu, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, dan Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, selamat melangsungkan pernikahan di sebuah lokasi tertutup di Langkawi.

Pasangan itu seterusnya diraikan dalam majlis resepsi berlangsung di sebuah resort terkemuka dekat Langkawi.

Antara rakan artis yang hadir adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 6:17 PM