Farihad Shalla Mahmud

Kuala Lumpur: Pelakon, Dini Schatzmann memaklumkan isterinya, Janna Nick dirawat di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya sejak Khamis lalu akibat masalah radang usus, namun memohon kebenaran untuk discaj lebih awal atas urusan kerja.

Dini atau nama sebenarnya Dini Azan Schatzmann, 28, berkata, Janna membuat keputusan sedemikian kerana tidak mahu menyusahkan produksi disebabkan penyakitnya itu.

"Mengikut kata doktor, dia perlu dirawat di hospital untuk tempoh tiga hari lagi kerana perlu menggunakan kaedah drip antibiotik.

"Disebabkan ada kerja-kerja penggambaran yang perlu diselesaikan, Janna sendiri meminta kebenaran untuk discaj lebih awal," katanya.

Mengulas lanjut, pelakon filem Malbatt: Misi Bakara itu berkata, keputusan dibuat isterinya kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak termasuk produksi.

"Janna tak mahu menyusahkan produksi. Semua orang kerja mengikut jadual yang ditetapkan.

"Dia tak naklah kerja-kerja penggambaran tertangguh hanya kerana penyakitnya itu. Esok adalah hari pertama penggambaran dan harap semuanya okay," katanya.

Berkongsi keadaan terkini pemenang trofi Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu, pelakon berdarah kacukan Melayu- Switzerland itu berkata, keadaan isterinya itu semakin menunjukkan perkembangan positif.

"Selepas tiga malam mendapat rawatan, keadaan Janna semakin pulih dan bergantung dengan antibiotik.

"Cuma, Janna tak boleh nak makan sangat dan sukar untuk berjalan kerana masih sakit di bahagian perut.

"Sehingga kini, doktor masih belum dapat mengesan punca penyakitnya itu," katanya.

Terdahulu, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, turut berkongsi keadaannya itu menerusi hantaran di Instagram.

Melalui hantaran sama, pelakon drama Bukan Puteri Lindungan Bulan ini memaklumkan, dia sudah pun dibenarkan pulang ke rumah hari ini, namun masih dalam proses pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 10:43 AM