Kuala Lumpur: Penampilan unik pasangan kekasih, Janna Nick dan Dini Azan Schatzmann pada sesi karpet merah Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34) turut mencuri tumpuan.

Menepati prosedur operasi standard (SOP) untuk mengenakan pelitup mulut, pasangan selebriti romantik itu memilih menutup keseluruhan wajah mereka menggunakan topeng sekuin.

Di Instagram, Janna menulis keterangan ringkas untuk mengiringi video pendek penampilan dirinya dan Dini.

"Hanya kerana saya menggayakannya dengan baik, tak bererti ia tidak membebankan," tulisnya yang boleh diinterpretasikan dalam pelbagai aspek dan bukan hanya busana yang dipakainya sahaja.

Janna muncul dengan busana sekuin rona perak hasil rekaan pereka fesyen, Wanpa manakala Dini tampil dengan sut berona hitam serta topeng bertulis angka enam.

Di platform media sosial antaranya Twitter, rata-rata netizen melabelkan pasangan itu sebagai 'Kim K' (Kim Kardashian) dan Squid Game versi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 11:06 PM