EMPAT generasi berbeza kugiran tempatan bakal gegarkan Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam 17 Jun nanti.
EMPAT generasi berbeza kugiran tempatan bakal gegarkan Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam 17 Jun nanti.
Georgie Joseph


Mengisi kalendar acara hiburan tahun ini, Showcase Jiwa Kacau 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada 17 Jun nanti dijangka mampu mencetus fenomena dalam penganjuran tempatan.

Menampilkan empat kugiran pelbagai generasi iaitu Hujan, Bunkface, Masdo, dan Insomniacks, bukan calang-calang nama. Senarai itu saja pun sudah cukup menjadi alasan kukuh bahawa showcase terbabit bakal menggegar.

Memang itu pun misi utama penganjurnya MND Sport & Event Sdn Bhd. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harith Daniel, 23, berkata dia percaya jenama acara itu mampu pergi jauh dengan penganjuran pertama kali itu.

"Kami memang sasar untuk Showcase Jiwa Kacau 2023 jadi acara yang akan meninggalkan impak besar. Kami berharap penganjurannya nanti mampu mengumpulkan peminat tegar setiap kumpulan yang membuat persembahan itu.

"Kami yakin ia bakal menjadi acara yang cukup 'gila' seiring dengan namanya 'jiwa kacau'. Semoga ia mencetus impak baharu dalam penganjuran konsert tempatan untuk tahun mendatang," katanya.

Harith berkata, mengumpulkan kugiran itu disifatkan bukan tugas mudah. Apatah lagi dia sendiri baru berjinak-jinak dalam penganjuran konsert berskala besar.

Namun, sebagai seorang pencinta konsert, dia dan pasukannya bekerja keras untuk memastikan perjalanan acara itu dibuat teliti. Ini termasuk meraih kepercayaan empat kugiran terbabit untuk terima tawaran itu.

"Saya sudah merancang, mengatur segalanya supaya semua aspek lengkap dan yakin ia akan berjaya. Saya akui awalnya mencabar untuk raih kepercayaan mereka tapi saya ada rujukan kukuh bagi pastikan misi berkenaan menjadi.

HARITH  (dua dari kiri) mahu jenama Showcase Jiwa Kacau 2023 diingati lama dalam industri hiburan.
HARITH (dua dari kiri) mahu jenama Showcase Jiwa Kacau 2023 diingati lama dalam industri hiburan.

"Saya sudah menghubungi mereka lebih sebulan yang lalu. Saya memang peminat Hujan dan Bunkface manakala Masdo serta Insomniacks adalah bakat besar yang juga sangat penting untuk diketengahkan," katanya.

Harith juga bersyukur keempat kugiran itu terima tawaran berkenaan kerana dia memang berkeras mahukan nama terbabit sejak awal lagi.

"Saya berusaha menyusun masa ikut kelapangan mereka. Syukur semuanya berjalan lancar dan sekarang cuma tunggu hari sebenar saja untuk dijayakan.

"Pemilihan lokasinya iaitu Stadium Tertutup Malawati pula disebabkan banyak tempat lain sudah penuh. Kebetulan Ogos nanti stadium itu bakal dirobohkan untuk pembinaan semula jadi biarlah kami jadi yang terakhir adakan konsert di sana," katanya.

Sementara itu, Bunkface menyifatkan Konsert Jiwa Kacau sebagai sebuah lamaran 'gila' yang datang tepat waktu dan tidak patut dilepaskan.

Pemilik hit seperti Malam Ini Kita Punya, Situasi, Dunia Baru dan Masih Di Sini itu sangat teruja untuk melihat projek empat kugiran terbabit menjadi kenyataan pada Jun nanti.

"Beritahu kami siapa yang sanggup lepaskan peluang 'berperang' dan berpesta dengan Hujan, Insomniacks dan Masdo? Mereka semua 'gila'!

"Dan Showcase Jiwa Kacau sebenarnya menjadi sebuah penghormatan buat kami bagaimana karya pemuzik lokal seperti kami diiktiraf dan terus disokong untuk memartabatkan industri muzik kita," ujar Youk selaku wakil Bunkface.

Bagi Insomniacks yang terus diingati menerusi lagu popular Pulang dan Sempurna, berkongsi panggung dengan tiga legenda muzik tempatan adalah mimpi yang menjadi realiti.

"Sebagai pemuzik paling junior dalam kelompok konsert ini, Insomniacks berasa sangat kecil, tetapi berbesar hati kerana dipilih melengkapkan formasi panggung bersama Hujan, Bunkface dan Masdo yang terlebih dahulu merintis jalan untuk pemuzik seperti kami hidup dalam industri," kata penyanyinya, Iqie.

Tiket Showcase Jiwa Kacau bermula dari RM75 hingga RM488.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:20 AM