Sebahagian penonton pada Konsert Sound Valley Festival 2017 di Maeps Serdang.
Sebahagian penonton pada Konsert Sound Valley Festival 2017 di Maeps Serdang.
Kumpulan Hujan dan Kugiran Masdor.
Kumpulan Hujan dan Kugiran Masdor.
Persembahan kumpulan Bunkface.
Persembahan kumpulan Bunkface.
Michelle Gun

Peminat Hujan tetap setia menanti persembahan kumpulan itu di Pesta Soundvalley kelmarin biarpun vokalisnya, Noh tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Berikutan itu, Hujan pada saat akhir menjemput kumpulan Kugiran Masdo untuk membuat persembahan bersama di konsert yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Menurut pemain bass Hujan, Izzat Uzaini, Noh tiba-tiba jatuh sakit ketika dalam perjalanan ke majlis pernikahannya di Shah Alam.

“Noh terpaksa mendapatkan rawatan di hospital menyebabkan dia tidak dapat membuat persembahan di Pesta Soundvalley.

“Kami juga tidak boleh membatalkan persembahan, jadi kenalah berkongsi pentas dengan Kugiran Masdo,” katanya.

Ujar Izzat, sebaik tamat resepsi perkahwinannya, pada sebelah petangnya dia bergegas ke studio untuk membuat persiapan bersama Masdo.

Vokalis Kugiran Masdo, Ali Sariah berkata, jemputan itu cukup mengejutkan dan memilih untuk menyanyikan beberapa lagu Hujan.

“Bagi saya ini peluang yang tidak harus dipersia-siakan. Meskipun diundang pada saat akhir, syukur segalanya berjalan lancar,” katanya.

Kugiran Masdo yang turut dianggotai Putuceri, Ambobzeela dan Mawi pernah membuat persembahan pada acara ulang tahun ke-10 Hujan tahun lalu.

Pada konsert Pesta Soundvalley, dua kumpulan itu mendendangkan empat lagu Kugiran Masdo yang berjudul Teruna Dara, Malam Pesta Rock and Roll, Berchanda dan Bunga.

Kemudian, mereka meneruskan persembahan dengan menyampaikan lima lagu hit Hujan iaitu Ahmoi Chantek, Gundah, Pagi Yang Gelap, Aku Scandal dan diakhiri dengan Bila Aku Sudah Tiada.

Ketika menyampaikan lagu Hujan, Ali berkali-kali meminta maaf kepada peminat kerana bimbang gagal memberikan persembahan memuaskan.

“Saya minta maaf kalau nyanyi lagu Hujan tidak sedap. Saya cuba buat yang terbaik.

“Kalian tidak tahu betapa gemuruh bermain lagu Hujan yang diminati ramai,” katanya.

Selain Hujan, Pesta Soundvalley turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Bunkface yang menghiburkan penonton dengan sembilan lagu.

Biarpun hujan pada sebelah petang, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat peminat setia kumpulan berkenaan untuk terus setia menyaksikan persembahan.

Sam ketika ditemui di belakang pentas berkata, Bunkface menyertai konsert itu kerana ia membariskan band popular tanah air dan luar negara.

“Kami teruja dapat berkongsi pentas dengan band terkenal dan saya turut menyaksikan konsert ini sampai habis,” katanya.

Menurut Sam, Bunkface bakal mengeluarkan dua single dan album baru tahun depan.

“Kami kini sibuk merakamkan lagu. Kami merancang memperkenalkan satu single bahasa Melayu dan Inggeris yang akan dikeluar serentak awal tahun depan.

“Album pula akan memuatkan 10 lagu Melayu dan Inggeris. Sudah lama Bunkface tidak mengeluarkan lagu Inggeris,” katanya.

Bunkface memberi persembahan penuh bertenaga menerusi lagu Malam Ini Kita Punya, Bunk Anthem, Rentak Laguku, Silly Lilly, Kembali, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi.

Hari pertama Pesta Soundvalley turut menampilkan kumpulan The Other Side Orchestra, Barasuara (Indonesia) serta Bloc Party dari London.

Konsert bermula sekitar jam 5 petang itu dibuka dengan persembahan daripada The Other Side Orchestra yang menyampaikan lima lagu iaitu Try, Possesive, In and Out, Duplicity dan Belahan Litar Jiwa.

Manakala Barasuara mempersembahkan lagu Suara Samara, Tarintih, Sendu Menglagu, Menunggang Badai, Bahasa Bahasa serta Api dan Lentera.

Bloc Party menjadi kumpulan terakhir membuat persembahan dan mereka menghiburkan penonton dengan 16 lagu.

Antara lagu didendangkan Only He Can Heal Me, Song For Clay, Octopus, Stunt Queen, Helicopter dan Ratchet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 2:55 PM