Ebby Yus
Ebby Yus
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Ebby Yus berkongsi mengenai pengalamannya pernah ditawarkan untuk didermakan buah pinggang oleh individu yang dianggap sebagai seorang yang sangat bermurah hati.

Bagaimanapun, Ebby menolak pelawaan itu memandangkan ketika itu buah pinggangnya masih dalam keadaan terkawal dan mencari perubatan alternatif.

"Ia berlaku pada 2017. Ketika itu buah pinggang saya memang bermasalah, cuma saya masih tak perlu menjalani sebarang pemindahan buah pinggang.

"Saya pun tidak berharap sehingga ke tahap itu memandangkan doktor juga memaklumkan bahawa keadaan buah pinggang saya masih terkawal.

"Apa pun, itu adalah pengalaman yang sentiasa saya ingat memandangkan individu itu adalah orang yang sangat bermurah hati untuk membantu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ebby, individu yang berasal dari Port Dickson itu cukup dikenali sebagai seorang yang suka membantu orang-orang yang memerlukan.

"Dia memang suka membuat kerja-kerja amal dan ada badan bukan kerajaan (NGO). Banyak bantuan yang disalurkannya termasuklah kepada golongan ibu tunggal dan sebagainya.

"Jadi, bila dia tahu masalah buah pinggang yang saya hidapi pada ketika itu, dia meluahkan hasrat untuk membantu," katanya.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya kini, Ebby berkata, semuanya masih dalam keadaan terkawal dan dia juga kerap kali menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Sekarang, buah pinggang saya bukanlah sembuh tetapi tidaklah melarat dan menjadi lebih parah. Sakit-sakit lain, biasalah sebab itu memang ada.

"Setiap tiga hingga enam bulan, saya akan menjalani pemeriksaan. Dari situ, doktor akan maklumkan sama ada darah atau gula saya ada sebarang masalah atau dalam keadaan baik," katanya.

Kini, Ebby juga mencari rezeki dengan bergelar penyampai radio di stesen radio Negeri FM setiap Khamis hingga Sabtu bersama gandingannya, Nen Tebabo dalam segmen Oghok Potang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 3:52 PM