CARA mudah kaedah CAPD.
CARA mudah kaedah CAPD.
KAEDAH CAPD
KAEDAH CAPD
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Pada usia 25 tahun, dia didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Luluh hatinya ketika menerima perkhabaran itu. Perasaan kecewa dan sedih bercampur baur menyebabkan dia seakan-akan berputus asa.

Mengenangkan ketika itu dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al Hafiz, 39, bangkit kerana memikirkan jika dia berputus asa, siapa akan menjaga isteri dan anaknya.

Namun, dia buntu berfikir dan mencari sebab bagaimana dia didiagnosis penyakit berkenaan sedangkan tiada dalam sejarah ahli keluarganya menghidap penyakit itu.

Mengimbau kembali detik 'hitam' itu, Pensyarah Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menjelaskan, dia kali pertama disahkan menghidap CKD pada 2001.

"Ketika didiagnosis CKD, saya dapatkan rawatan di Hospital Selayang sehingga 2008 dan pada tahun sama saya mula membuat rawatan dialisis. Sebelum itu doktor memberi pilihan kepada saya sama ada mahu membuat hemodialisis (HD) atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

"Atas nasihat doktor, saya memilih CAPD kerana lebih sesuai dengan usia dan keadaan ketika itu," katanya ketika ditemui pada majlis lawatan pesakit peritoneal dialisis di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam kaedah rawatan (CAPD), pesakit menyambungkan beg mengandungi cecair dialisis (antara dua hingga 2.5 liter) ke tiub tenckhoff untuk disalurkan ke dalam rongga peritoneal.

Cecair dialisis dibiarkan di dalam rongga ini selama empat hingga enam jam, dan dikeluarkan dari abdomen dan digantikan dengan cecair dialisis yang baru. Bagi mendapatkan dialisis mencukupi, empat atau enam kali pertukaran cecair dialisis diperlukan setiap hari.

Biasanya, setiap pertukaran mengambil masa setengah jam dan di antara pertukaran itu, pesakit bebas menjalankan aktiviti harian.

Kandungan cecair dialisis membabitkan campuran pelbagai jenis garam dan gula (glukosa). Kepekatan kandungan gula dalam cecair dialisis menentukan kadar penyerapan (ultrafiltration) pengeluaran cecair daripada pesakit.

Kebaikan utama kaedah rawatan ini adalah ia boleh dilakukan di rumah atau tempat kerja pesakit. Berbanding rawatan hemodialisis, risiko jangkitan kuman seperti hepatitis B dan C, risiko anemia, keperluan transfusi adalah kurang di samping pengekalan fungsi ginjal untuk masa lebih lama.

Menurut Abdullah, meskipun punca sebenar dia mendapat CKD belum diketahui, doktor yang merawatnya menyatakan ia berkemungkinan berpunca daripada tekanan selain tidak cukup rehat disebabkan waktu itu ia menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM).

"Ketika membuat pemeriksaan tekanan darah, doktor terkejut kerana tekanan saya pada tahap membimbangkan iaitu atas 200mm Hg dan bawah 180mm Hg.

"Keadaan itu menyebabkan saya ditahan di wad dan doktor menyarankan saya membuat CAPD dan mencari penderma buah pinggang segera. Alhamdulillah, ibu saudara saya berbesar hati mendermakan buah pinggangnya kepada saya pada 2010 dan ia bertahan sehingga sekarang," katanya.

Abdullah juga menjelaskan, sokongan dan dorongan keluarga adalah kekuatan paling penting untuk dia mengharungi hidup sebagai pesakit CKD. Dia juga banyak membaca serta mendapatkan maklumat mengenai penyakit ini dengan lebih lanjut.

"Apabila didiagnosis, baru saya tahu mengenai alternatif rawatan yang ada untuk pesakit CKD. Saya juga lebih menjaga kesihatan seperti tidak terlalu tertekan dan banyak berfikir.

"Mujur isteri, anak dan keluarga sentiasa berada di sisi saat saya benar-benar memerlukan mereka. Bukan hanya CKD malah apa juga jenis penyakit, sokongan insan tersayang sangat penting untuk pesakit," katanya.

CKD adalah keadaan di mana buah pinggang kehilangan fungsinya secara beransur-ansur dalam satu jangka masa. Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) yang juga dikenali sebagai kegagalan fungsi buah pinggang.

Kebanyakan pesakit menyatakan mereka tidak tahu mengenai tahap kesihatan buah pinggang kerana tidak berasa sakit di mana-mana bahagian badan.

"Ramai pesakit tidak mengira bangsa datang kepada saya dan memberitahu perkara hampir sama iaitu mereka beranggapan antara simptom kegagalan buah pinggang adalah merasa sakit di belakang badan," katanya.

Abdullah antara 300 pesakit buah pinggang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) yang menyertai lawatan pesakit anjuran Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare (M) Sdn Bhd.

Lawatan itu adalah acara tahunan yang diadakan setiap tahun untuk mengetengahkan kebebasan, fleksibel dan mobiliti yang ditawarkan oleh rawatan CAPD, di samping memberi kesedaran mengenai pentingnya kawalan serta pengurusan penyakit buah pinggang dengan baik.

Acara ini juga memperlihatkan bagaimana pesakit buah pinggang dapat menjalani kehidupan lebih sihat dan aktif.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata, tahun lalu ada seramai 31,637 pesakit dialisis dan angka ini dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 6,000 pesakit setiap tahun.

"Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menerima rawatan penggantian buah pinggang termasuk pemindahan buah pinggang atau dialisis iaitu CAPD atau HD.

"Bagi melangkah seiring dengan negara ASEAN serta negara membangun lain seperti Amerika Syarikat, Thailand, Hong Kong dan Singapura yang melaksanakan 'PD first' atau langkah memanfaatkan PD, Kementerian Kesihatan kini dalam proses merangka polisi 'PD first'.

"Antara sebab kita ingin melaksanakan polisi ini ialah memperkasa pesakit dengan keupayaan melakukan dialisis sendiri di rumah, mengurangkan risiko anemia (sel darah merah rendah) serta risiko jangkitan hepatitis yang lebih rendah berbanding HD.

"Satu kajian terkini di HKL yang dibentangkan di persidangan International Society of Pharmacoeconomics and Research Outcomes (ISPRO) baru-baru ini menunjukkan, PD membantu mengurangkan kos berkaitan dialisis berbanding HD," katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar Baxter Healthcare (M) Sdn Bhd, Iftekhar Ahmed serta Presiden MSN, Datuk Dr Ong Loke Meng.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:02 AM