Uqasha Senrose
Uqasha Senrose

Kuala Lumpur : "Saya tak pernah buli orang di sekolah. Ini kerana saya yang banyak berpindah sekolah ketika tingkatan empat dan lima dulu," kata pelakon, Uqasha Senrose mengenai seorang wanita yang mendakwa dia menjadi mangsa buli sejak zaman sekolah.

Uqasha menerusi sesi perkongsian live di Tiktok berkata, dia hairan bagaimana wanita itu boleh menuduhnya pernah membuli dia.

Dia juga hairan kenapa kes yang sudah berlaku sejak 15 tahun lalu sekarang baru hendak dibongkarkan.

"Ini bukan benda kecil sampai saya terpaksa baca benda tak betul dan trending di Twitter. Kalau betul kenapa sekarang baru nak cerita? Kononnya macam-macam saya dah buat pada awak.

"Awak tuduh saya kaki buli, talam dua muka sampai buat orang lain nak bunuh diri. Saya teringin nak kumpulkan guru-guru dan rakan-rakan sebab sekolah itu pun masih ada, betul ke saya ini pembuli?" katanya.

Dalam pada itu, Uqasha turut membuat laporan polis berhubung dakwaan berbaur fitnah itu.

Katanya, dia juga sudah melantik peguam bagi menguruskan kes itu serta tindakan susulan yang akan diambil terhadap pengadu berkenaan.

"Semuanya akan terjawab nanti dan peguam akan buat siasatan terperinci," katanya.

Sementara itu, menurut Uqasha, serangan buli siber seperti itu langsung tidak menjatuhkan semangat dan moralnya ketika dia sendiri berdepan dugaan besar dalam hidup.

Katanya, dia perlu kuat demi kesihatan mental diri sendiri serta suami tercinta yang memerlukan perhatian sepenuhnya.

Semalam, Uqasha yang masih terkejut dengan insiden suaminya, Kamal Adli diserang di Singapura meluahkan rasa terkilan apabila menjadi mangsa fitnah individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 11:39 AM