Emma Maembong pada majlis doa selamat filem sekuel seram iaitu JANGAN PANDANG BELAKANG 2 "AKU TAHU ASAL USULMU". foto ROHANIS SHUKRI
Emma Maembong pada majlis doa selamat filem sekuel seram iaitu JANGAN PANDANG BELAKANG 2 "AKU TAHU ASAL USULMU". foto ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: "Saya memang tengok dan tahu ada. Tapi, tak ada kena mengena dengan saya. Jadi, kenapa nak melatah."

Demikian kata pelakon, Emma Maembong ketika ditanya mengenai kewujudan khabar angin yang mengaitkan namanya sebagai pelaku aktiviti luar tabii atau 'swinger' (orang yang berkahwin atau sudah ada pasangan yang suka mengadakan hubungan seks dengan pasangan orang lain).

Emma ketika ditemui berkata, dia tidak melayan gosip yang dianggap picisan itu kerana tidak mahu mengganggu proses membesar anak-anaknya.

"Dari dahulu sampai sekarang, orang akan bercakap saya macam-macam. Tapi, seperti yang kalian semua sedia maklum, kalau sesuatu perkara itu tak ada kaitan dengan saya, saya takkan respon. Memang takkan layan pun sebab buat apa kita nak melatah.

"Benda kalau ada, memang dah tular dari dahulu lagi. Jadi, bagi saya, saya dah ada suami dan anak-anak dan benda ini akan melekat di media sosial sampai bila-bila. Saya tak mahu anak-anak saya membesar dengan melihat benda-benda tak elok seperti ini.

"Jadi, bagi saya, kalau benda itu betul, saya sendiri akan cakap, bahawa benda itu betul ataupun tidak. Tapi, kalau benda itu sekadar macam gosip, setakat gosip ini, banyak lagi gosip lain yang datang 'tembak' saya dari dahulu.

"Bukan saya nak mengelak atau apa, tapi, memang saya takkan melayan gosip-gosip yang macam orang kata, tak sedap di mata anak-anak apabila membesar dan tengok," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Emma, 32, ini bukan kali pertama dia berdepan dengan gosip dan dakwaan berbaur fitnah seperti ini kerana dia sudah melaluinya sejak melangkah masuk ke dalam industri.

"Saya bercakap jujur, waktu sebelum saya kahwin pun, saya cuba mengelak sebaik mungkin pelbagai dakwaan terhadap saya. Ada yang cakap saya begini, ada yang cakap saya perempuan 'clubbing' dan sebagainya.

"Tapi, saya fikir, saya pun manusia. Kadang-kadang, kalau kita keluar lepak atau apa, takkanlah tak ada siapa pernah pergi kan? Jadi, kalau kerana benda itu orang terus nak cakap, saya ini seolah-olah macam robot yang tak boleh buat apa-apa, tak boleh juga.

"Saya dengan fitnah dan dakwaan-dakwaan ini, dah terlalu 'bestfriend' dah, dah 'kawan rapat' dah. Sebab itu, bagaimana cara untuk kita menguruskannya.

"Semasa saya buka tudung pun, terlalu banyak gambar saya yang orang sunting. Tapi, bila saya tengok balik, 'Wow! Cantiknya aku'. Itu pun saya tak ada nak komen apa-apa," katanya.

Ditanya mengenai reaksi suaminya, Muhammad Shazli Azhar, Emma berkata, suaminya sudah faham cabaran kehidupannya sebagai selebriti sejak awal hubungan mereka lagi.

"Ada juga saya pernah bercinta dengan orang yang tak boleh terima gosip dan benda itu mewujudkan pergaduhan dalam hubungan kami. Pernah juga saya tak jadi berkahwin disebabkan gosip-gosip seperti ini.

"Jadi, sebelum berkahwin, saya terus terang dengan suami, pertama sekali, awak berkahwin dengan pelakon. Jadi, awak kena siap sedia dengan jadual yang sibuk, itu dan ini. Jadi, kena faham benda itu. Saya tak jadi pelakon yang senyap selepas berkahwin sebab suami tak izinkan.

"Kedua, kalau ada gosip-gosip yang keluar itu, kita kena tanya satu sama lain dan jangan terus melatah atau apa. Sebab itulah suami saya pun tak ada melatah atau apa sebab benda itu sudah dijelaskan di peringkat awal lagi," katanya.

Emma juga menenangkan Shazli setiap kali suaminya mula rasa geram dengan komen-komen tidak berasas yang dilontarkan kepadanya.

"Dia kadang-kadang kalau baca komen, dia geram juga dan macam nak balas. Saya cakap kepada dia, tak payah. Kalau saya nak balas, berlambak lagi benda-benda yang patut dibalas.

"Kalau nak sekat (block), berlambak akaun yang saya kena sekat. Jadi, bagi saya, saya biarkan sahaja apa orang bercakap pasal saya," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah itu memandangkan ia merosakkan reputasinya sebagai figura awam, Emma enggan membuang masa.

"Macam saya cakap, saya malas nak layan. Tapi, kalau benda-benda itu terlampau sangat, mestilah kita ada undang-undang dan kenapa kita nak takut. Kita pun ada peguam. Tapi, saya pun fikir, saya tak boleh bayangkan orang-orang yang duduk dan mengata.

"Kalau saya saman, dia ada duit tak nak bayar? Sebab, saya tak boleh nak bayangkan saya duduk melayari internet dan tulis benda-benda mengutuk orang. Saya bayangkan, kalau saya jadi orang itu, dan tiba-tiba kena saman. Ada duit tak nak bayar?

"Paling-paling pun, saya buat sidang media, suruh dia jelaskan, saya kat sebelah, dan suruh dia minta maaf dan saya tak jadi saman. Kan itu berpanjangan dan membuang masa?" katanya.

Terdahulu, muncul khabar angin mengenai kewujudan kumpulan 'swinger' dan membabitkan nama-nama individu popular di Malaysia.

Terbaharu, Emma kini membintangi filem seram, Jangan Pandang Belakang 2 arahan pengarah, Pierre Andre.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:55 PM