Syada Amzah
Syada Amzah
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi Syada Amzah meminta netizen supaya jangan mengheret keluarga susulan konflik dua pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona dan Cupcake Aisyah yang menjadi bualan hangat di media sosial.

Syada atau pemilik nama sebenar Nursyuhada Amir Amzah, 25, yang turut bernaung di bawah pengurusan sama terpanggil bersuara kerana tidak tahan melihat netizen berterusan campur tangan dalam urusan kedua-dua individu itu.

"Kalau pasal A dan B, kenapa sampai ganggu ibu bapa mereka? Fikirlah, kalau jadi pada kamu dan keluarga sendiri? Sangat-sangat tak 'cool', biadap.

"Saya sudah cuba menahan untuk tak menyentuh perkara ini, tetapi saya geram. Dalam hal ini, tiada siapa yang 100 peratus betul atau salah.

"Mana-mana hubungan pun akan ada perbalahan, akan ada dua cerita di dua belah pihak. Memandangkan benda ini pasal orang lain dan orang yang lebih muda daripada kita, tolonglah rasional.

"Salah faham begini banyak terjadi ketika zaman persekolahan, sekarang semua dah dewasa dan masing-masing ada kerja kena buat. Oleh itu, fokuslah pada itu. Kenapa nak campur hal orang?," katanya.

Syada menegaskan netizen tidak seharusnya menambah minyak dan mencetuskan spekulasi dalam media sosial sehingga boleh melarat menjadi fitnah.

Menurutnya, perkongsian itu mempunyai kaitan dengan tindakannya sebelum ini yang memuat naik kempen kesedaran mental menerusi platform media sosial.

"Sebab itulah saya muat naik pasal kesedaran kesihatan mental sebelum ini. Saya punya 'mode survival' memang lain macam sebab dah tak kisah apa orang cakap lagi-lagi membabitkan hal tidak betul.

"Tapi kalau awak semua nak juga buat naratif itu, silakan. Panggil lah saya kalis kecaman atau apa, saya cuma nak buat kerja dan cari rezeki halal, jaga ibu selagi masih hidup.

"Tetapi janganlah kacau dan ganggu mental mereka hanya disebabkan kehidupan awak tak menarik. Kasihan mereka, biarlah mereka uruskan hal berkenaan sebab itu jugalah cara kita membesar kan? Dengan melakukan kesalahan dan belajar daripadanya," katanya.

Sekadar info, sebelum ini Leona Azhar memuat naik satu video di TikTok mendedahkan bekas teman lelakinya bercinta dengan sahabat baik sendiri.

Susulan tular video itu, nama Cupcake Aisyah menjadi 'buah mulut' netizen apabila ramai yang berpendapat entri itu ditujukan buatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:17 PM