Tya Ariffin bersama anak dan suaminya
Tya Ariffin bersama anak dan suaminya
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Tya Ariffin berkongsi pernah menolak lamaran suaminya, Asyraf Khalid untuk berkahwin kerana tempoh perkenalan yang terlalu singkat dan usianya masih belasan tahun ketika itu.

Tya mendedahkan, dia mengambil pendekatan untuk menjalinkan hubungan cinta terlebih dahulu selama setahun sebelum membawa hubungan berkenaan ke fasa seterusnya.

"Sekadar perkongsian, nak cerita bagaimana kami berdua boleh berkenalan seterusnya mendirikan rumah tangga. Pertama kali Asyraf ajak kahwin adalah masa lepas pertama kali jumpa dengan dia. Pertama kali jumpa, lepas itu ajak kahwin.

"Pada ketika itu saya takut kerana tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada Asyraf. Jawapan Tya meminta kita jalani dulu, tengok macam mana, jodoh di tangan Allah. Kalau kita memang jodoh, sesuai Insya-Allah akan dipermudahkan.

"Masa tu, jawapan Tya pun dibantu oleh mereka terdekat yang lebih berusia. Umur Tya masa itu 19 tahun pun tak sampai lagi la. Sudah tentu kalau orang pacaran ini tanya dulu nak jadi teman lelaki ke teman wanita ke. Tapi Asyraf dah panggil Tya sayang," kata Tya.

Menerusi video yang dimuat naik di Tik Tok, Tya yang juga usahawan kelahiran Indonesia itu menjawab pertanyaan pertemuannya dengan suami.

Tegas Tya, tempoh perkenalan juga bukanlah perjalanan yang mudah buat mereka berdua. Selain bercinta jarak jauh, bahasa yang juga medium komunikasi turut menjadi kekangan.

Untuk rekod, Tya mendirikan rumah tangga dengan Asyraf pada 1 November 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 6:06 PM