TYA ARIFFIN
TYA ARIFFIN
Sudirman Mohd Tahir

“ALHAMDULILLAH, Allah bagi saya kekuatan. Keluarga juga menyokong keputusan saya untuk bertudung. Malah orang sekeliling juga sangat menyokong. Saya bersyukur sangat,” kata pelakon dan ahli perniagaan, Tya Ariffin mengenai penampilannya yang kini berhijab sejak 2 Februari lalu.

Tya yang juga menantu penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, suaminya, Asyraf Khalid sudah lama memberi isyarat supaya dia berhijab.

Menurut Tya, dia berusaha memperbaiki diri dan belajar ke arah yang lebih baik.

“Pada pagi 2 Februari, sebelum keluar rumah, saya terdetik untuk mengenakan hijab. Tanpa sebarang persiapan, saya ambil keputusan untuk mencuba memakai hijab.

“Saya beritahu suami supaya jangan memuatnaik gambar saya sebab belum bersedia. Tapi, suami tersenyum lebar sambil mengucapkan alhamdulillah.

“Sebenarnya, suami dan Prof Muhaya sudah bagi ‘hint’ pada saya untuk sempurnakan cara pemakaian. Tapi, ketika itu saya masih belajar dan dalam process untuk memperbaiki diri. Bagi saya, perubahan ini harus muncul daripada diri sendiri dahulu,” katanya.

Menurut Tya, penghijrahan itu juga langkah awal untuk dirinya membantu wanita lain untuk ke arah yang lebih baik.

“Misi saya adalah untuk membantu wanita dan impian saya bersama suami sangat besar. Jadi, saya harus lakukan segala perintah Allah dan tinggalkan segala yang dilarang. Mudah-mudahab Allah reda dengan segala yang saya lakukan.

“Saya juga bersyukur pada Allah kerana memberi segala nikmat di dunia. Saya ada keluarga yang baik, perniagaan Mutyara yang baik dan sedang berkembang dengan sangat laju. Jadi, saya nak perbaiki diri untuk lebih baik. Allah sudah sangat baik pada saya.

“Saya mohon supaya semua mendoakan saya kekal istiqomah dan untuk saya dan keluarga lebih sukses dan maju. Terima kasih kepada semua yang sudah menyokong saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 10:24 AM