AL-JAWAHER mahu teroka pasaran antarabangsa.
AL-JAWAHER mahu teroka pasaran antarabangsa.
Syafil Syazwan Jefri


ANGKA 44 mungkin menjadi angka keramat dan bersejarah buat kumpulan nasyid legenda, Al-Jawaher kerana di usia 44 tahun penubuhan mereka, kini Al-Jawaher masih berdiri utuh dan hadir dengan buah tangan terbaharu, Bring Me Close To You.

Dianggotai Norhaiyati Yusof, Habibah Othman, Siti Rosminah Jaafar, Hajar Mohamed, Normala Mohd, Jumuyah Kasbari dan Latifah Johari, mereka yang majoritinya menetap di Singapura (kecual Habibah yang menetap di Johor Bahru) hadir ke Kuala Lumpur untuk menyempurnakan majlis pelancaran single berbahasa Inggeris pertama mereka itu.

Ketua kumpulan, Norhaiyati berkata, ini adalah percubaan mereka dalam meneroka serta menembusi pasaran muzik antarabangsa menerusi bahasa yang lebih universal iaitu Bahasa Inggeris.

"Sebenarnya, kami ingin mencari kelainan dengan menggabungkan bahasa Inggeris serta bahasa Arab di dalam karya terbaharu ini. Secara tak langsung, kami juga ingin meneroka pasaran muzik antarabangsa," katanya.

Menurut Norhaiyati, mereka juga mengambil inspirasi daripada Maher Zain yang pernah muncul dengan lagu dalam bahasa berbeza daripada bahasa ibundanya.

"Inspirasi kami adalah daripada penyanyi, Maher Zain. Kalau dilihat, dia juga pernah menghasilkan lagu dalam Bahasa Melayu. Walaupun Bahasa Melayunya tidaklah fasih, namun penerimaannya di Malaysia sangat baik.

"Jadi, kami Al-Jawaher merasakan bahawa apa salahnya sekiranya kami cuba hasilkan lagu dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran antara bangsa.

USIA bukan penghalang kerana dakwah tidak mengira usia.
USIA bukan penghalang kerana dakwah tidak mengira usia.

"Walaubagaimanapun, lagu Bring Me Close To You ini juga turut dihasilkan dalam versi Bahasa Melayu menggunakan judul Bawa Daku Mendekati-Mu. Versi ini dibuat untuk saluran radio yang tidak memainkan lagu Bahasa Inggeris," katanya.

Ditanya mengenai mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ciptaan komposer Yazri Malik itu, Norhaiyati memaklumkan bahawa mereka ingin peminat dan pendengar lagu ini mengingati bagaimana untuk mendekatkan diri dengan Allah.

"Lagu-lagu kami tentunya memiliki mesej-mesej positif untuk pendengar. Untuk lagu baharu ini, mesejnya adalah agar pendengar mendekatkan diri kepada Allah," katanya.

Ditanya mengenai matlamat mereka selepas 44 tahun berkarya di dalam industri seni, Al-Jahawer ingin terus berdakwah dan menyampaikan mesej positif menerusi karya mereka.

"Usia bukanlah halangan kerana usaha dakwah itu tidak mengira usia. Al-Jawaher bukan lagi mengejar populariti, sebaliknya, niat utama kami adalah untuk menyampaikan dakwah serta mesej positif menerusi lagu.

"Kalau niat itu benar-benar ikhlas, Allah akan bantu terus berikan kekuatan," katanya.

Sepanjang 44 tahun menelusuri arena nasyid, Al-Jawaher sudah menerbitkan enam album bermula dengan Permata pada 1980, kemudian diikuti Perjalanan (1981), Warna Alam (1982), Berita Gembira (1984), Alam Insan (1989) dan Lambaian Raudah (2019).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 6:20 AM