KHODI hasil lagu inggeris untuk tonjolkan ‘versatility’.
KHODI hasil lagu inggeris untuk tonjolkan ‘versatility’.
Georgie Joseph


Kredibiliti penyanyi Khodi, 20, sememangnya tidak terbatas kepada nyanyian semata-mata.

Hakikatnya, dia memiliki kualiti muzikal sebagai komposer dan tidak putus menghasilkan karya sendiri yang tepat dengan jiwanya.

Terbaharu, Khodi turut menghadiahkan sebuah lagi lagu tulisan sendiri dalam bahasa Inggeris berjudul Desire.

Lebih menarik, proses menulis lagu ini tidak memakan masa panjang dan dihasilkan tempoh dua hari saja.

Semestinya, pencapaian itu cukup menggembirakan mana-mana penyanyi mahupun komposer kerana proses berkarya sepantas itu bukan datang selalu.

Bagi Khodi, dia anggap dirinya bertuah kerana ilham siapkan Desire hadir begitu semula jadi.

"Saya sangat seronok ketika proses menulis dan menerbitkan lagu ini. Setiap bait liriknya mengalir dalam fikiran saya dengan begitu semula jadi, sekali gus tidak perlu ragu-ragu untuk menyiapkannya secara keseluruhan.

"Hakikatnya, saya berulang kali mainkan versi kasarnya tanpa rasa bosan atau timbul rasa berfikir dua kali. Saya sendiri memang jatuh cinta terus dengan lagu ini dan perasaan sebegitu sangat jarang untuk datang sebenarnya," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai ilham di sebalik cerita lagu ini, Khodi mengambil idea mengetengahkan kisah hubungan yang bermasalah.

Menurutnya, sesiapa juga berhak merasai kebahagiaan dan ada kuasa mutlak melepaskan diri dari belenggu hubungan sebegitu.

"Desire sebenarnya bercerita mengenai hak untuk membebaskan diri daripada sebuah hubungan penuh toksik. Kita perlu belajar bagaimana untuk dahulukan diri, cintai diri serta tahu diri kita sangat bernilai.

"Ini kerana, pada pengakhirannya, keputusan sendiri menjadi penentu kepada apa kemahuan sebenar yang kita kejar dalam kehidupan. Saya sangat berharap pendengar juga akan dapat menyelami mesej mendalam lagu ini sebagaimana saya rasakan," katanya.

Memilih untuk pertaruhkan karya Inggeris pula, Khodi akui penghasilan lagu dalam bahasa itu tidak berbeza jauh dengan menulis lagu Melayu. Khodi juga berhasrat mahu tonjolkan kebolehannya menyanyi rap dalam Desire juga.

"Ini bukan kali pertama pun saya menulis lagu bahasa Inggeris, tapi ini lagu Inggeris sulung saya lancarkan. Saya sangat teruja berkongsi lagu ini kerana saya juga ada menyanyikan bahagian rap dalamnya.

"Proses menulis lagu sebenarnya sama saja buat saya, baik dalam apa bahasa pun. Tapi, untuk Desire, prosesnya memang agak santai kerana saya boleh kaitkan diri dengan liriknya, sekali gus memudahkan proses itu," katanya.

Lagu Desire ini juga sebenarnya sebuah karya yang dihasilkan khas untuk projek Bring The Beat 2.0 anjuran Sony Music Malaysia. Projek ini adalah sebuah inisiatif memberi peluang kepada artis menulis lagu sendiri dan diberikan ganjaran.

Projek ini dimulakan bagi tujuan menyokong artis yang terkesan berikutan tiada pendapatan selepas pandemik Covid-19 menimpa. Dengan inisiatif itu, artis dapat terus memanfaatkan, sekali gus tidak membataskan kreativiti mereka.

Desire dilancarkan secara rasmi di platform digital dan penstriman muzik, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 6:20 AM