Idris Ahmad  (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar, Nur Nisha Amirah Nazaruddin pada Program Inspirasi Qaseh Kami @ Masjid Al-Jawaher Mutiara Rini, Skudai Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Idris Ahmad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar, Nur Nisha Amirah Nazaruddin pada Program Inspirasi Qaseh Kami @ Masjid Al-Jawaher Mutiara Rini, Skudai Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan masih menunggu keputusan rasmi daripada Arab Saudi berhubung penetapan kuota haji bagi pelaksanaan ibadah itu tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu dijangka mengambil masa kerana Arab Saudi sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) selain isu logistik yang akan dilakukan mengikut norma baharu.

Katanya, Arab Saudi dijangka turut mempertimbangkan pengesanan varian baharu, Omicron yang dilaporkan berupaya berjangkit kepada orang ramai dalam tempoh cepat.

"Wallahualam, kita masih belum pasti sama ada varian baharu itu (Omicron) merisikokan kita dengan pelaksanaan ibadah haji yang diperketatkan.

"Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) baharu pulang dari sana minggu lalu dan memaklumkan bahawa Arab Saudi belum lagi membuat sebarang keputusan berkaitan kuota haji untuk Malaysia.

"Ini kerana mereka memikirkan pelbagai aspek antaranya pelaksanaan SOP dan logistik di sana.

"Saya amat berharap varian baharu itu tidak menjejaskan negara kita dan jemaah haji kita boleh menunaikan haji pada musim depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Dewan Masjid al-Jawaher Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sama ada Malaysia akan mengikuti keputusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan wanita bujang menunaikan haji tanpa mahram mulai musim haji lalu, Idris berkata, kerajaan belum memutuskan soal itu.

"Perkara itu akan diputuskan oleh pihak Penasihat Syariah Tabung Haji untuk membuat pendirian mereka berhubung isu mahram ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:16 PM