IDRIS ketika sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
IDRIS ketika sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan masih menunggu keputusan rasmi daripada Arab Saudi berhubung penetapan kuota haji bagi musim haji tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu dijangka mengambil masa kerana Arab Saudi, sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) selain isu logistik yang akan dilakukan mengikut norma baharu.

Katanya, Arab Saudi dijangka turut mempertimbangkan pengesanan varian baharu, Omicron yang dilaporkan berupaya tersebar dengan lebih cepat berbanding varian terdahulu.

"Wallahualam, kita masih belum pasti sama ada varian baharu itu (Omicron) berisiko dengan pelaksanaan ibadah haji yang diperketatkan.

"Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) baharu pulang dari sana minggu lalu, memaklumkan bahawa Arab Saudi belum lagi membuat sebarang keputusan berkaitan kuota haji untuk Malaysia. Ini kerana mereka memikirkan pelbagai aspek antaranya pelaksanaan SOP dan logistik di sana.

"Saya amat berharap varian baharu itu tidak menjejaskan negara kita dan jemaah haji kita boleh menunaikan haji pada musim depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di Dewan Masjid al-Jawaher Mutiara Rini di sini, hari ini.

Mengikut laman web TH, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia sebelum ini ialah 31,600.

Namun, bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.

Ditanya mengenai sama ada Malaysia akan mengikuti keputusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan wanita bujang yang dibenarkan menunaikan haji tanpa mahram mulai musim haji lalu, Idris berkata, kerajaan belum memutuskan soal itu.

"Perkara itu akan diputuskan oleh pihak Penasihat Syariah Tabung Haji untuk membuat pendirian mereka berhubung isu mahram ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:12 PM