TAK 'demand' dari segi bayaran selepas menang anugerah.
TAK 'demand' dari segi bayaran selepas menang anugerah.
Ramlah Zainal


Nama pelakon Jaa Suzuran mula meraih perhatian ramai apabila memenangi kategori Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) menerusi lakonan mantapnya dalam filem Autumn In Wales.

Jaa juga berjaya mengetepikan barisan calon hebat lain seperti Idan Aedan, Abbas Mahmood, MK K-Clique dan Ji Ng Jinn Jou.

Bagi Jaa atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Ahmad, 28, kejayaan itu menjadi pembakar semangat buatnya untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

"Alhamdulillah, selepas menang anugerah, saya ada menerima beberapa tawaran berlakon dalam projek telefilem dan supertele.

"Terbaharu, saya akan terbabit dengan projek telefilem bersama penerbit dan pengarah, Rahila Ali pada bulan ini.

"Jika tiada aral, saya akan sambung penggambaran supertele arahan Hashim Rejab terbitan Mache Production pula pada awal Februari depan," katanya.

Ditanya sama ada dia akan meletakkan harga atau 'demand' dari segi bayaran selepas menang anugerah, Jaa menafikannya.

"Saya tidak pernah terlintas untuk meletakkan harga bayaran kepada penerbit dan pengarah kerana masih baharu dalam bidang lakonan.

"Justeru, saya berharap penerbit mahupun pengarah tidak takut untuk mengambil saya berlakon selepas ini," katanya.

KEJAYAAN di FFM32 jadi pembakar semangat.
KEJAYAAN di FFM32 jadi pembakar semangat.

Mengenai perancangan karier seninya pada tahun ini, kata Jaa, dia akan fokus untuk memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.

"Saya menang trofi di FFM32 menerusi lakonan dalam filem sulung dan karakternya menjadi diri sendiri.

"Justeru, masih terlalu banyak lagi saya perlu belajar dalam bidang lakonan untuk memantapkan prestasi sedia ada.

"Antara pelakon yang beri Inspirasi dalam bidang lakonan ialah aktor popular, Zizan Razak kerana saya suka cerita komedi," katanya.

Jaa berkata, dia juga impi untuk melakonkan watak antagonis dalam lakonan selepas ini.

"Saya mahu melakonkan watak yang buat orang sakit hati dan benci untuk mencabar kemampuan dalam lakonan.

"Jika ada rezeki, saya juga merancang untuk mengikuti kelas dengan guru lakonan seperti Ogy Ahmad Daud atau Elly Suriaty," katanya.

Selain itu, kata Jaa, dia juga mahu kembali aktif di laman media sosial seperti dulu.

"Saya sudah lama berehat kerana sibuk dengan bidang permainan video dan sampai masanya untuk kembali fokus dalam bidang lakonan.

"Pada masa sama, saya kini mengusahakan bisnes baju Melayu sebagai jaminan masa depan," katanya.

Berkongsi syarikat pengurusan pula, Jaa yang juga bekas penyampai radio, dia kini bernaung di bawah Eggnetwork dan Rocketfuel.

"Saya juga tiada perancangan untuk kembali ke konti radio kerana perlu membahagikan masa pada lakonan dan permainan video penstriman (streaming game).

"Antara kerjaya penyampai radio dan lakonan, saya berasa lebih puas dalam bidang lakonan kerana saya bermula dengan video pendek ketika mula-mula terbabit dalam lakonan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 6:30 AM