MASIH banyak perkara perlu dipelajari Jaa, sasar kahwin pada usia 28 tahun.
MASIH banyak perkara perlu dipelajari Jaa, sasar kahwin pada usia 28 tahun.
Sudirman Mohd Tahir


Nama penyampai radio Era, Jaa Suzuran kian melonjak naik selepas beberapa video dimuat naik di Instagram tular.

Watak bersahaja dan ‘gila-gila’ dimiliki Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 24, menjadikannya mudah dikenali dan didekati orang.

Jaa yang dikatakan memiliki wajah ala pelakon Korea Selatan ini juga seorang yang spontan sekali gus memberi kelebihan untuknya.

Namun, disebabkan itu Jaa mengakui hingga sekarang dia belum memiliki kekasih hati.

Menurut Jaa, perkara itu memungkinkan wanita sukar untuk mendekati dan mendasari isi hatinya.

“Apa yang dilihat dalam Instagram dan realiti, inilah saya sebenar. Saya selesa menjadi diri sendiri. Mungkin disebabkan itu, wanita takut nak berkawan dan mendekati dengan lebih rapat. Apatah lagi, mereka beranggapan saya seperti budak-budak.

“Bagi saya, orang kita suka menilai daripada apa yang mereka lihat. Sedangkan hakikat sebenar, saya seorang ‘gentlemen’. Kalau tidak cuba nak berkenalan, mana mungkin tahu personaliti sebenar saya. Kata orang, tak kenal maka tak cinta,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pasangan, Jaa berkongsi ibunya sudah memberi keizinan dan lampu hijau untuknya berkahwin.

Menganggap ia sesuatu yang istimewa berlaku dalam Syawal ini, Jaa bagaimanapun tidak mahu menipu diri sendiri apabila mengakui belum bersedia memikul tanggungjawab baru.

“Selesai bersalaman pada pagi Syawal lalu, ibu terus berkata saya sudah boleh mencari calon isteri. Saya menganggap ia isyarat dan restu untuk ke fasa baru dalam hidup. Cuma, buat masa sekarang saya belum bersedia ke arah itu.

“Pada usia ini, masih banyak perkara perlu dipelajari dan pada masa sama saya ingin menggapai apa yang diimpikan dahulu. Kalau semuanya sudah okey, baru boleh fikir mengenai perkara ini. Lagipun, saya menyasarkan untuk berkahwin pada usia 28 tahun,” katanya.

Menurut Jaa, dia juga tidak kisah sekiranya bakal isteri kelak adalah pilihan ibunya.

Jaa berkata, dia yakin wanita melahirkannya itu mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.

“Sekiranya tidak jumpa yang sesuai, saya okey saja jika ibu yang carikan calon isteri. Lagipun, ibu tahu cita rasa saya dan tentunya dia ingin yang terbaik.

“Secara peribadi, saya inginkan wanita yang pandai masak. Memandangkan saya jenis tidak suka makan di luar, jadi kalau boleh nak bakal isteri yang boleh masak seperti masakan ibu.

“Soal paras rupa pula, bonus jika dia cantik dan pandai berniaga seperti Neelofa. Apa pun, dalam perkara ini saya berserah kepada jodoh dan ketentuan Allah,” katanya.

Makin popular

Tidak pernah menjangka dirinya bakal dihimpit populariti, Jaa bersyukur dengan apa dilalui sekarang.

Malah, daripada sekadar suka-suka memuat naik video, perkara itu kini membuahkan hasil sekali gus menjadikan ia sebahagian daripada tuntutan kerja dan menjana pendapatan untuknya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa diperoleh. Bagi yang mengikuti dari awal hingga sekarang mereka tahu bagaimana saya berusaha secara perlahan-lahan.

“Lebih membuatkan saya terharu juga apabila setiap video dimuat naik orang suka dan jadi bualan di mana-mana. Ini satu pencapaian untuk saya.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menjangka untuk dikenali dan berada pada tahap hari ini. Ini semua adalah rezeki. Lagi pula, setiap peluang diberikan saya cuba manfaatkan sebaik-baiknya,” katanya.

Pada masa sama, Jaa berterima kasih kepada pengikut dan peminat yang sentiasa memberikan idea dan pendapat untuknya menghasilkan video.

Kemunculan Jaa dalam setiap video menarik minat penerbit filem Busker untuk menawarkannya berlakon dalam filem yang ditayangkan awal tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Jaa bakal muncul dengan lagu Eh Eh Belum Lagu duet bersama pelakon, Eyka Farhana yang menampilkan dirinya sebagai rapper.

“Pada mulanya saya suka-suka saja rap lagu ini. Tidak menjangka pula ia menarik minat penerbit dan komposer lagu.

“Lagu ini siap dirakam sebelum Ramadan lalu dan sekarang kami sedang giat merancang mempromosikan lagu ini di semua platform digital. Saya juga sudah bersedia dengan segala kritikan dan maklum balas diberikan,” katanya.

Selain itu, Jaa juga bakal terbabit dalam program lawak Super Spontan Extravaganza yang ditayangkan di saluran Astro Warna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 3:52 AM