ENGGAN kejar populariti mendadak, Haidar mahu kehadirannya diingati selama-lamanya.
ENGGAN kejar populariti mendadak, Haidar mahu kehadirannya diingati selama-lamanya.
Najiy Jefri


SELEPAS mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai penerbit video dan kandungan di sebuah stesen radio swasta tahun lalu, Haidar Hasanudin terus yakin mengatur langkah dalam bidang seni.

Enggan menoleh ke belakang, jejaka yang membesar di Keramat, Kuala Lumpur ini berazam terus menimba pengalaman dan mencipta nama.

Tidak hanya bersandar wajah kacak, Haidar yang mula menceburkan diri menerusi drama Tetuan Ang dan Rahimin mahu dikenali sebagai bintang baharu yang berilmu.

"Selepas tamat belajar di Institut Media dan Integratif Malaysia (MIIM) atau lebih dikenali Akademi TV3, saya mula menceburkan diri dalam dunia seni, tetapi sebagai kru produksi.

"Pelbagai kerja sudah saya lakukan seperti jurukamera, kru teknikal, pembantu produksi, penyunting, pembantu penerbit dan akhirnya saya bergelar penerbit.

"Pada masa sama, saya menyimpan minat untuk beraksi di hadapan kamera, tetapi ketika itu saya akui kurang keyakinan diri.

"Jadi, saya bermula sebagai hos 'podcast' dan beberapa program lain. Akhirnya 2022 membuka lembaran baharu untuk saya apabila mendapat tawaran beraksi di hadapan kamera sebagai pelakon," katanya.

Tambah Haidar, minatnya dalam dunia lakonan mula membuak-buak selepas merasai sendiri pengalaman bergelar pelakon dan nekad memberi fokus kepada kerjaya lakonan sepenuh masa.

"Selepas sambutan Syawal tahun ini, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai penerbit kandungan dan mahu memberikan fokus sebagai pelakon.

"Saya tak akan lupakan jasa pengarah seperti Wan Hasliza, Wan Alauddin, Eyra Rahman dan Rashidi Ishak yang percaya dengan bakat saya. Biarpun masih bertatih, saya sudah mendapat rentak dan mahu gandakan usaha dalam bidang seni," katanya.

Optimis dalam menyambut kehadiran 2023 tidak lama lagi, pemegang watak Ejen 1111 dalam drama komedi Kampung People 3 ini tidak mahu mengejar populariti.

HAIDAR berharap kehadirannya dalam dunia lakonan diterima ramai.
HAIDAR berharap kehadirannya dalam dunia lakonan diterima ramai.

"Bagi saya, kemilau populariti ada baik dan buruknya. Sebagai pelakon baharu yang mempunyai pengalaman di belakang tabir, saya kena berhati-hati.

"Siapa tak mahu dikenali? Tipu jika ada pelakon yang enggan namanya orang ingat. Tetapi, saya ada pandangan tersendiri. Biar nama saya menjadi sebutan kerana kualiti yang ditonjolkan dalam kerja, bukan kerana cerita sensasi atau kontroversi.

"Tahun 2022 mengubah jalan hidup seorang Haidar Hasanudin. Saya bersyukur kerana Allah SWT kurniakan rezeki untuk berkongsi bakat dalam bidang lakonan.

"Insya-Allah, untuk lembaran 2023 yang akan dibuka nanti, saya bakal muncul dengan beberapa naskhah seperti Stella On Stage dan I Love You Sayang," katanya.

Mahu mempelbagaikan karakter yang dibawa, Haidar menjadikan bapanya, Hasanudin Saidin sebagai idola.

Hasanudin adalah pengurus produksi dan pelakon pada era 1990-an yang pernah membintangi filem seperti Jibon, Miang Tak Jadi dan banyak lagi.

"Bapa saya aktif sebagai pengurus produksi dan pernah membintangi beberapa filem dan drama satu ketika dulu.

HAIDAR nekad meletakkan jawatan sebagai penerbit video dan kandungan untuk jadi pelakon.
HAIDAR nekad meletakkan jawatan sebagai penerbit video dan kandungan untuk jadi pelakon.

"Ketika saya mula mahu menceburkan diri dalam lakonan, dia memberi restu dan nasihat, sebagai bapa dan orang lama dalam industri.

"Saya sering memegang pesan bapa supaya berpijak pada bumi yang nyata dan selalu merendah diri. Dia juga meminta saya tidak sombong dan baik dengan semua orang.

"Malah, turut diingatkan supaya jujur dengan diri sendiri, ikhlas dalam pekerjaan, mudahkan kerja semua orang dan timba ilmu sebanyak mungkin. Semua perkara yang dipesan bapa, sentiasa saya semat dalam hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:20 AM