Barisan panel, penggiat seni, ahli WHAM dan jemputan termasuk mahasiswa menghadiri forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Krediliti? di UKM, Bangi.
Barisan panel, penggiat seni, ahli WHAM dan jemputan termasuk mahasiswa menghadiri forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Krediliti? di UKM, Bangi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Paras rupa yang cantik harus seiring dengan bakat dalam misi untuk menjadi pelakon hebat di pentas lakonan.

Begitulah kesimpulan dibuat oleh barisan ahli panel yang terbabit pada forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, pemilihan pelakon cantik untuk watak utama sudah dipraktikkan sejak dulu.

"Antara pelakon cantik pada zaman dulu ialah Seniwati Maria Menado, Zaiton dan Roseyatimah. Pemilihan pelakon yang cantik dan kacak diperlukan untuk watak hero.

"Namun, pemilihan pelakon utama juga dibuat menerusi uji bakat dan bukan sekadar cantik semata-mata.

"Ada juga pelakon yang mewarisi bakat lakonan dari ahli keluarga seperti Noor Kumalasari dan Fauziah Datuk Ahmad Daud," katanya.

Menurutnya, bukan saja paras rupa dan bakat tetapi sikap seseorang pelakon juga memainkan peranan penting untuk menjadi pelakon yang bagus.

Antara panel terbabit dalam forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Krediliti? FOTO Ihsan WHAM
Antara panel terbabit dalam forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Krediliti? FOTO Ihsan WHAM

Penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam, berpendapat rupa dan bakat harus seiring untuk mendapat tempat dalam industri perfileman.

"Bagi saya ia subjektif kerana semua manusia pun mahukan yang cantik. Kalau kita buat filem pun contoh filem Hindustan pun semua nak yang cantik tapi tanpa kita mengabaikan bakat.

"Sebagai pelakon dan pengarah, mata kita adalah kamera. Kita akan tengok cara pelakon itu berjalan dan bercakap. Isteri saya sendiri adalah penasihat dan penonton pula mewakili masyarakat," katanya yang tidak akan menjadi pengarah syok sendiri.

Menurut Yusof, menghasilkan filem juga 'survival' kerana buat filem bukannya mudah dan bagaikan satu perjudian.

Seniwati Veteran Noor Kumalasari pula berpendapat kecantikan paras rupa bukan saja dinilai dari segi luaran sebaliknya aspek dalaman untuk menjadi pelakon yang baik.

"Cantik juga mempunyai banyak maksud dan bagaimana kita melihatnya serta dari sudut apa?

"Sudah pasti yang paling penting, perangai dan sikap seseorang pelakon dalam menjalankan tanggung jawab pada watak diserahkan.

"Pelakon perlu memiliki 'attitude' yang baik dengan menghormati pelakon lain dan pengarah di lokasi. Kalau hati kita cantik, jadi cantiklah orangnya," katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard, Sharifah Rose tidak menafikan paras rupa memainkan peranan penting untuk membuka laluan baginya untuk menceburi bidang seni.

"Saya tiada pengalaman ketika diminta untuk menghadiri sesi uji bakat bagi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard. Saya hanya diminta membaca dan menghafal skrip drama itu dan bertemu dengan heronya iaitu pelakon Redza Rosli.

"Saya juga tidak sangka apabila ditawarkan watak heroin dalam drama itu. Saya juga meminta pandangan kedua ibu bapa sebelum menerima tawaran itu kerana masih belajar dan menyambung pengajian di peringkat ijazah ketika itu," katanya.

Sementara itu, pelakon baharu yang digilap bakatnya menerusi pertandingan Hero Remaja 2020, Hariz Hamdan, paras rupa adalah sesuatu yang sangat subjektif.

Forum anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Finas dan FSKK, UKM sempena menyemarakkan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember ini.

Aktor Fahrin Ahmad tampil sebagai moderator. Majlis pelancaran forum disempurnakan Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa. Hadir sama, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Penerbit A Aida Production, Datuk A Aida.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 1:36 PM