Noorkumalasari
Noorkumalasari
Syafil Syazwan Jefri


Bandar Baru Bangi: Pelakon legenda, Noorkumalasari memaklumkan kakaknya, Anita Sarawak yang bermastautin di Las Vegas, Amerika Syarikat berada dalam keadaan baik.

Noorkumalasari, 66, ketika ditemui turut menafikan dakwaan mengatakan Anita kini mengalami masalah kesihatan.

"Saya ada juga mendengar khabar angin begitu, tapi dia sebenarnya dalam keadaan baik dan tak sakit seperti didakwa," katanya ketika ditemui di Forum Antara Cantik dan Bakat : Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Noor berkata, dia sudah lama tidak berhubung dengan Anita.

Menurut Noor, Anita lebih banyak berhubung dengan kakak sulung mereka bagi memaklumkan keadaan terkininya.

"Mungkin sebab dia tahu saya banyak berhubung dengan rakan-rakan media, jadi dia lebih selesa untuk berhubung dengan kakak sulung saya. Yang pasti, dia dalam keadaan baik bersama suami di Las Vegas," katanya.

Terdahulu, khabar angin mendakwa Anita bukan saja sakit, malah sudah bercerai dengan suaminya, Mahathir Abdullah selain turut didakwa sudah meninggal dunia.

Media sebelum ini melaporkan Anita sudah meninggalkan kerjaya nyanyian dan kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 5:20 PM