Gulshan (kiri) dikerumuni media pada pelancaran filem 'I’m Not a Terrorist'. FOTO SHAWAL AZANI
Gulshan (kiri) dikerumuni media pada pelancaran filem 'I’m Not a Terrorist'. FOTO SHAWAL AZANI
Amirul Haswendy Ashari.


PELAKON popular Bollywood, Gulshan Grover, 62, akui tidak pernah bosan memegang watak antagonis walaupun sering diberi watak sama.

Pelakon itu ditemui pada pelancaran trailer filem I'm Not A Terorrist arahan Arjin Uppal yang menggandingkannya dengan pelakon Malaysia, Afiq Muiz dan Chacha Maembong di sini, hari ini.

"Kerjaya saya bermula dari watak antagonis sehinggakan diberi jolokan nama 'Badman' oleh peminat filem Hindi seluruh dunia.

"Saya tidak pernah bosan sebab melakukannya dengan pelbagai cara tapi dengan penuh semangat. Pendapat saya, lebih sukar membawa watak negatif berbanding watak hero," katanya.

Gurshan berkata, paras rupa menarik dan lakonan biasa-biasa mudah untuk menjadi hero tetapi untuk memegang watak antagonis perlu menjadi seorang pelakon yang hebat.

Katanya, pelakon antagonis juga perlu bekerja lebih keras sebab durasi di skrin agak singkat lantas mereka perlu mencipta magis tersendiri agar diingati penonton.

Selain Gulshan, pelakon Bollywood lain terbabit dalam filem I'm Not A Terrorist ialah Farida Jalal dan Rahul Dev.

Filem yang menjalani penggambaran di Malaysia dan Kashmir pada tahun lalu akan ditayangkan di Malaysia pada 5 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 10:16 PM