Fauzi Nawawi bersama isterinya, Lisdawati.
Fauzi Nawawi bersama isterinya, Lisdawati.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Kenapa kita sebagai manusia jika sekali buat kesilapan, orang salahkan kita, pijak kita sampai lumat? Sedangkan orang tahu, berbelas tahun kalau kita buat baik pun kita tak perlu beritahu orang,".

Demikian luahan pelakon Fauzi Nawawi berkenaan situasi yang dilaluinya selepas insiden terlepas cakap menerusi sebuah program televisyen Oktober tahun lalu.

Menurutnya, program yang disiarkan menerusi stesen tv terbabit bukan terbitannya dan dia tidak sepatutnya perlu terus dipersalahkan.

"Kesilapan dan kesalahan itu sepatutnya netizen yang cerdik pandai ini cari apakah keputusannya. Bukannya salahkan semua pada saya.

"Saya pun dah mengaku silap terlepas cakap. Kadang-kadang kita bercakap dalam keadaan yang teruja, dalam keadaan yang kita seronok, sehingga tak sangka perkataan tak sepatutnya keluar," katanya.

Fauzi yang sinonim dengan watak antagonis berkata, walaupun beberapa pengarah memberitahu namanya ditolak beberapa stesen tv, tetapi dia tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak berkenaan.

"Industri seni ini adalah jiwa saya. Kalau nak kata digam, alhamdulillah tidak. Jujur saya tak pernah digam oleh sesiapa kerana saya tidak bergantung dengan mana-mana makhluk untuk hidup di muka bumi.

"Selagi Allah bagi saya nyawa dan nafas, saya akan mencari rezeki untuk anak-anak dan keluarga sebab saya dilahirkan bukan sebagai pelakon. Kalau nak kecam saya silakan. Anda sedang sedekahkan pahala kepada saya," katanya.

Dia yang kini tampil menerusi filem Seratus berkata, kejadian itu sedikit sebanyak menyedarkannya yang tidak semua orang industri hiburan sukakannya.

"Kita kena fikir lebih ramai orang menanti kejatuhan berbanding kejayaan kita. Kejadian itu menyedarkan saya berwaspada, berhati-hati pada masa akan datang. Berbuat baiklah sesama manusia. Tak perlu beritahu pun tentang kebahagiaan kita dan kebaikan kita. Yang perlu kita jaga adalah kata-kata dan lidah," katanya.

Fauzi kini menguruskan perniagaan di Sabah apabila membuka kedai peranti elektronik (vape shop) di sana.

Menurutnya, ia sebagai cara tempoh bertenang seketika daripada kemelut yang terjadi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 12:48 PM