LAPANGAN Terbang Antarabangsa Al Maktoum, Dubai. FOTO AFP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Al Maktoum, Dubai. FOTO AFP
AFP

Dubai: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengumumkan bahawa kerja-kerja sudah dimulakan untuk projek terminal baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, Dubai.

Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum berkata, terminal itu yang terbesar di dunia dibina dengan kos hampir AS$35 bilion (kira-kira RM167 bilion).

"Kami meluluskan reka bentuk untuk terminal penumpang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan (sedang) memulakan pembinaan bangunan itu dengan kos AS$34.85 bilion (kira-kira RM166 bilion)," katanya di X.

Sheikh Mohammed berkata, ia akan mempunyai kapasiti terbesar dunia dan lima kali ganda saiz semasa Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang adalah satu daripada hab udara tersibuk di dunia.

Setelah beroperasi sepenuhnya, lapangan terbang itu akan mengendalikan kapasiti penumpang sebanyak 260 juta setiap tahun, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Menurut Presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan Emirates, Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum, fasa pertama projek itu akan siap dalam tempoh 10 tahun dengan kapasiti untuk menampung 150 juta penumpang setiap tahun.

Dibina di pinggir bandar, Lapangan terbang Al Maktoum menerima sebahagian kecil daripada trafik udara hab kewangan di rantau Teluk sejak 2010.

Pihak berkuasa mahu ia menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang mempunyai kapasiti sehingga 120 juta penumpang setiap tahun. Lokasi lapangan terbang itu terletak berhampiran pusat bandar yang menghalang kepada proses pengembangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 11:52 AM