Barisan penyampai radio Molek FM bersama juara Pencarian Cek Mek Molek Tati, Kamila (tiga dari kanan).
Barisan penyampai radio Molek FM bersama juara Pencarian Cek Mek Molek Tati, Kamila (tiga dari kanan).
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pemenang pertandingan Cek Mek Molek Tati anjuran stesen radio Molek FM, Nurul Kamilia Afiqah Mohd Kamaruzaman dipilih menjadi penyampai radio itu.

Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM dan Molek FM, Nik Nor Azura berkata, Pencarian Cek Molek Tati ini adalah inisiatif Molek FM bersama Tati Skincare bertujuan untuk mencari bakat baharu sebagai penyampai radio.

"Pihak Molek FM berbesar hati dengan kesudian pihak Tati Skincare menjayakan pencarian Cek Mek Molek Tati ini. Bintang radio yang memenangi program ini berpeluang memulakan kerjaya dan mengembangkan karier sebagai seorang penyampai radio bersama dengan barisan penyampai lain di Molek FM.

"Mereka ini bukan hanya perlu menghiburkan serta memberi maklumat kepada pendengar, tetapi perlu menarik minat khalayak di platform digital seperti media sosial, aplikasi juga 'streaming' serta YouTube," katanya.

Pertandingan Cek Mek Molek Tati berlangsung dari 12 Februari hingga 24 Mac lalu. Pencarian bermula dari 3 Februari hingga 2 Mac lalu berjaya menarik hampir 100 penyertaan daripada pendengar setia Molek FM dan orang ramai.

Kemenangan Nurul Kamilia Afiqah dari Kemaman, Terengganu berjaya membawa pulang kontrak bersama Molek FM bernilai lebih RM30,000.

Selain Kamila, empat lagi finalis iaitu Nur Izzati Mohd Rashid, Preti Kaur Gill, Alifah Ilyana Mohd Zakiamani dan Nik Maisarah Jamil.

Finalis diberikan beberapa cabaran bagi menguji tahap kemampuan mereka untuk menjadi penyampai Molek FM yang bukan saja perlu petah berkata-kata lebih-lebih lagi dalam dialek Pantai Timur, malah perlu bijak mengatur strategi mereka untuk melayakkan mereka ke pentas akhir.

Antara cabaran yang perlu dilakukan adalah mereka membuat 'talksets' secara virtual dan bersemuka, cabaran TikTok bersama penyampai radio Molek FM, cabaran membaca berita serta aktiviti komuniti, temubual bersama artis serta selebriti juga ke udara di segmen Molek Petang bersama Mat Dan dan Molek Malam bersama Kai Hassan.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 1:09 PM