Nikki Palikat
Nikki Palikat
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Nikki Palikat, 36, menyifatkan pelakon dan penyanyi Wani Kayrie sebagai seorang yang 'comel' sekali gus menepis dakwaan selebriti wanita itu cuba meniru gaya penampilan dan cara nyanyiannya.

Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat berkata, dia sebenarnya tidak pernah berasakan Wani cuba meniru dirinya kerana yakin bahawa setiap artis pasti memiliki cara mereka yang tersendiri.

"Wani Kayrie, pada saya sangat comel dan tak pernah rasa pun dia cuba meniru saya. Lagipun, sebelum ini ramai yang kata kami macam adik-beradik sebab ada iras wajah. Malah, ada juga yang kata, dia (Wani Kayrie) ibarat saya yang baharu nak masuk industri hiburan dulu.

"Jadi, mungkin dari segi itu ada nampak macam serupa. Tapi, sebenarnya dia ada 'style' tersendiri. Bahkan, vokal suaranya juga lain. Jadi pada sayalah, dia memang tidak cuba meniru," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas juga pandangannya mengenai kemunculan segelintir bakat baharu atau 'budak baru nak up' (BBNU) yang dilihat cuba meniru penyanyi lama, Nikki berkata, ia hanya sekadar inspirasi saja.

Katanya. perkara itu biasa dan dia sendiri pun ada artis lama yang diinspirasikan.

"Saya pun ketika mahu aktif semula dalam karier nyanyian ini menjadikan penyanyi lama sebagai inspirasi. Jadi, tak ada salahnya benda ini sebab ia sekadar inspirasi dan bukanlah nak meniru mereka (artis lama).

"Sebenarnya, apabila dah dapat inspirasi diinginkan itu, kita perlulah gerakkan jiwa sendiri untuk membuat lebih baik dalam karier. Bagi saya, memang tiada masalah pun dengan perkara membabitkan inspirasi ini," katanya.

Terdahulu, Wani Kayrie juga menafikan dia cuba 'mengikut' gaya penampilan dan cara nyanyian Nikki. Katanya, dalam karier nyanyiannya dia menginspirasikan dua penghibur terkenal iaitu Agnes Monica dari Indonesia dan bintang antarabangsa, Beyonce.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 8:57 PM