WANI timba pengalaman bersama artis dan penerbit Asia.
WANI timba pengalaman bersama artis dan penerbit Asia.
Syafil Syazwan Jefri


Kebolehan penyanyi Wani Kayrie, 24, menyampaikan pelbagai irama lagu tidak perlu disangkal lagi.

Bakat seni yang dimiliki Wani meletakkannya sebaris dengan penyanyi bernama besar tanah air yang lain.

Bagaimanapun, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini enggan dilabel sebagai artis senior memandangkan usianya yang masih muda di samping perjalanan karier seninya yang masih jauh.

"Pada saya, saya masih penyanyi remaja. Saya rasa peminat juga ramai sebaya saya dan saya tidak meletakkan diri sebagai penyanyi senior kerana masih muda.

"Lagi pula, perjalanan saya masih jauh dan saya tak mahu orang fikir jangka hayat kerjaya saya pun habis tak lama lagi.

"Jadi, saya selesa dikenali seperti mana sekarang," katanya.

Pada masa sama, Wani juga terbuka menerima setiap komen dan label yang diberikan peminat serta orang dari dalam industri kepadanya dan memandang dari sudut positif.

"Sebenarnya walaupun peminat saya dah ikuti saya sejak dahulu, ramai yang kenal saya sebagai artis BBNU.

"Saya rasa orang gelarkan saya sebagai artis senior adalah ketika saya berduet dengan Kak Nikki Palikat ketika All Stars Gegar Vaganza (ASGV) kerana barisan artis yang dijemput adalah senior.

"Dari situ, orang anggap saya sebaris artis senior yang turut sama tampil di acara itu.

"Bila disebut dengan gelaran itu oleh orang industri, saya rasa, ini masanya untuk nama saya melangkah ke fasa lain," katanya.

Mewakili Malaysia dan tampil membuat persembahan di acara Anugerah TV Asia ke-28 (ATA28) yang berlangsung di Hoa Binh Theatre, Ho Chi Minh, Vietnam pada 12 dan 13 Januari lalu, Wani berkongsi pengalamannya menyaksikan cara kerja produksi dari negara itu.

WANI intai peluang berkerja sama dengan komposer luar.
WANI intai peluang berkerja sama dengan komposer luar.

"Saya menjadi satu-satunya penyanyi dari Malaysia yang dijemput untuk membuat persembahan di ATA28 untuk kedua-dua hari.

"Hari pertama adalah acara gala, manakala hari kedua adalah siaran langsung yang ditayangkan di TV-TV Asia.

"Pengalaman saya ketika di sana semestinya saya gemar memerhatikan cara kerja produksi negara lain. Apa yang saya nampak, cara kerja di Vietnam, mereka sangat menepati masa.

"Kalau 'call time' jam 10 pagi, mereka mulakan pada waktu yang tepat. Itu yang buatkan saya sangat hormat dengan produksi di sana," katanya.

Tambah Wani, dia juga berpeluang melihat sendiri cara kerja serta disiplin artis dari pelbagai negara Asia.

"Pengalaman lain, saya berpeluang melihat selebriti contohnya, pengacara dari negara lain, cara kerja dan disiplin yang mereka terapkan sangat tinggi.

"Ini satu peluang berharga buat saya kerana dapat melihat sendiri proses kerja itu, cara kerja artis dari pelbagai negara di satu acara yang sama.

"Boleh dikatakan saya berjumpa semua artis dan calon serta pemenang anugerah pada malam kedua itu memandangkan kami semua dikumpulkan di satu bilik sama untuk acara karpet merah. Itu peluang untuk saya berjumpa artis dari negara Asia.

"Antaranya, artis dari Vietnam, Thailand dan Indonesia. Sedikit sebanyak saya dapat berborak dan bertukar pengalaman dengan mereka.

JAYAKAN persembahan pada Anugerah TV Asia ke-28 di Vietnam baru-baru ini.
JAYAKAN persembahan pada Anugerah TV Asia ke-28 di Vietnam baru-baru ini.

"Ia satu jangka pendek, tapi kebanyakan pengalaman dan ilmu saya dapatkan ketika berborak dengan bos dan penerbit yang tak lokek untuk kongsikan ilmu bagaimana untuk kekal relevan dalam industri ini," katanya.

Terbaharu, Wani dan pengurusannya, Rocketfuel masih dalam perbincangan untuk menyempurnakan beberapa projek membabitkannya dengan komposer dari dalam dan luar negara.

"Buat masa ini, saya dan pengurusan dalam perbincangan untuk hasilkan projek 'cover' bersama artis duet. Tapi, semuanya masih dalam perbincangan. Kalau jadi, kami akan uar-uarkan.

"Kami ada hubungi beberapa komposer hebat antaranya dari Korea untuk hasilkan single baharu saya. Tapi, kami masih menanti demo dari mereka. Kemudian ada komposer tempatan juga yang pernah buatkan lagu untuk saya. Tapi, juga masih dalam perbincangan.

"Selain itu, ada tawaran untuk berlakon dalam telefilem Aidilfitri dari dua stesen TV. Tapi, disebabkan jadual yang agak padat dan Mac dah masuk Ramadan. Saya lihat juga kesesuaian watak sebelum terima

tawaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:00 AM