Wani Kayrie
Wani Kayrie
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Wani Kayrie, 22, menafikan dakwaan gosip mengatakan dia cuba 'mengikut' gaya penampilan dan cara nyanyian naib juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Nikki Palikat.

Wani berkata, dalam karier nyanyiannya dia menginspirasikan dua penghibur terkenal iaitu Agnes Monica dari Indonesia dan bintang antarabangsa, Beyonce yang mungkin ramai dalam kalangan peminatnya belum tahu.

"Saya tak ikut kak Nikki pun, tapi saya tahu dia seorang penyanyi yang hebat. Saya pun dulu tahu dia pernah menyanyi sebab ada peluang bekerjasama dengan bekas suaminya, komposer Audi Mok yang menciptakan lagu saya dan kami juga pernah berjumpa di studio.

"Cuma, apabila dia (Nikki) aktif menyanyi semula selepas GV8, saya lihat wataknya di pentas agak agresif. Jadi, saya rasa macam mungkin satu, dia berdarah Sabah juga sebab orang Sabah memang suka 'perform'. 

"Darah 'performer' itu memang ada dalam diri kami. Kalau boleh tengok, penyanyi dari Sabah yang 'perform' termasuk Stacy dan sebagainya. Jadi, saya rasa tak ada pun ikut sesiapa sebab mungkin itu hanyalah kerana kita punya persamaan bila suka 'perform' dan menyanyi," katanya kepada Harian Metro.

Wani berkata, apa yang dia tahu ialah ramai juga mengatakan dia dan Nikki seperti adik-beradik.

Namun, dia tak kisah dengan semua dakwaan diperkatakan itu kerana sedar ia lumrah sebagai insan seni.

"Saya okey saja dengan apa yang orang nak kata. Tapi, dakwaan mengatakan saya 'ikut' gaya penampilan dan cara nyanyian kak Nikki itu tidak benar sama sekali. Saya hanya kagum serta menginspirasikan Agnes dan Beyonce saja," katanya.

Baru-baru ini, timbul dalam satu forum gosip mendakwa gaya penampilan dan cara nyanyian Wani Kayrie lebih ke arah seperti 'mengikut-ikut' Nikki Palikat yang pernah popular dengan lagu Caramu pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 2:38 PM