Nikki bersama suami, Audi Mok dan anak mereka, Liam.
Nikki bersama suami, Audi Mok dan anak mereka, Liam.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Nikki Palikat, 36, memperlahankan kerjaya seninya selama ini kerana memberi tumpuan terhadap anak lelaki tunggalnya, Liam, 11.

Nikki yang pernah menyertai program Malaysian Idol musim pertama pada 2004 dan popular dengan lagu Caramu bertemu jodoh dengan komposer terkenal, Audi Mok pada 2009.

Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat berkata, dia bergelar ibu pada usia muda dan ia menjadi sebab paling utamanya memilih untuk memberi fokus pada menjaga sendiri anaknya ketika itu.

"Audi tidak pernah menghalang saya untuk menyanyi, cuma apabila ada anak dirasakan naluri keibuan saya lebih memilih untuk fokus kepada menjaga anak di rumah berbanding karier nyanyian.

"Saya selesa menguruskan penjagaan anak sepenuh masa sendiri tanpa perlu menghantarnya kepada pengasuh. Kini, anak pun sudah berusia 11 tahun dan saya fikir tiba masanya untuk buat 'comeback' bagi menunaikan pula impian menghasilkan album solo," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nikki yang kali terakhir merakamkan lagu pada 2008 ditemui pada sidang media memperkenalkan 13 peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) di sebuah hotel di ibu kota.

Ditanya adakah anaknya sudah tahu dia dulu seorang penyanyi, Nikki berkata, baru-baru ini saja dikongsikannya dan Liam agak terkejut dan berasa pelik.

"Selama ini, dia (Liam) hanya tahu saya suka menyanyi dan banyak terbabit dengan persembahan teater saja. Tapi, apabila nak muncul di kaca TV semula, dia seperti tak percaya betul ke ibunya nak menyanyi. Malah, dia pun pernah tanya kenapa dulu saya tak jadi penyanyi yang popular? Saya jawab saja, sebab nak jaga awaklah," katanya memaklumkan akan berusaha memberi persembahan terbaik setiap minggu.

Nikki berkata, dia gembira mendapat peluang menyetai GV8 kali ini walaupun pernah ditawarkan beberapa kali, tetapi tidak terpilih untuk menyertainya di saat akhir.

GV8 akan membuka pentas mulai 21 November ini akan disiarkan di Astro Ria, jam 9 malam membabitkan peserta dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain Nikki, peserta lain GV8 ialah Aweera, Adibah Noor, Azan Scan, Datuk Fazley, Shidee, Suki, Nico, Bandi Amuk, Ani Mayuni, duo pelawak Saiful Apek dan Yassin Senario, termasuk Upiak Isil dari Indonesia dan Aliff Aziz (Singapura).

Konsert mingguan GV8 yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diadili tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:37 PM