NIKKI Palikat bersedia muncul dengan imej baharu, mula temui hala tuju tepat selaku penghibur
NIKKI Palikat bersedia muncul dengan imej baharu, mula temui hala tuju tepat selaku penghibur
Georgie Joseph

SEWAKTU baharu bergelar artis pada 2004 lalu, penyanyi Nikki Palikat cukup mentah dan naif mengenai industri hiburan. Populariti dikecapnya ketika itu berlaku sepantas kilat.

Apa yang 'disogok' pada dirinya ketika itu, Nikki, 37, terima bulat-bulat saja demi kelangsungan kariernya.

Dia benar-benar meniti kemuncak bergelar bintang pop dan mengecap kegemilangan selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya dia sedar bahawa aturan kerjaya seninya ketika itu bukan sepenuhnya memenuhi kehendak jiwa. Bukan tidak bersyukur, dia akui cuma mengikut kehendak pengurusan.

Justeru, keputusannya menyepi dari radar dunia seni sebenarnya cukup disyukuri. Nikki lebih kenal nilai artistik dan hala tuju tepatnya sebagai penghibur.

Dalam tempoh itu, dia mempersiapkan diri untuk lebih tegas dengan setiap inci karier seninya.

Menurutnya, pembabitan serta kemenangan tempat kedua di Gegar Vaganza 8 (GV8) baru-baru ini, adalah permulaan untuknya menunjukkan sisi berbeza sebagai penghibur.

"Sewaktu baharu menceburi bidang muzik awal dulu, saya cukup terkenal dengan lagu yang rancak. Imej saya pun begitu remaja dan lagu kena ikut permintaan pasaran ketika itu.

SUDAH kumpul ilmu di dada untuk jadi penghibur serba-boleh.
SUDAH kumpul ilmu di dada untuk jadi penghibur serba-boleh.

"Sejujurnya, saya sangat mentah untuk tahu apa yang saya inginkan dalam diri secara keseluruhannya sebagai penghibur. Terutama, menyentuh apa karya yang sangat tepat dengan cara nyanyian saya.

"Jadi, saya gunakan masa 'menghilang' itu untuk mendalami, mengenal, serta membentuk Nikki yang baharu. Itulah misi saya membuat kemunculan kembali sekarang, tebus semula tempat dalam industri," katanya.

Yang pasti, Nikki berazam untuk memberikan sepenuh hati dalam bidang seni semula. Dia sendiri sebenarnya bukan menitikkan kariernya sejak ambil keputusan berehat dulu.

Sebaliknya, dia masih memanfaatkan 'suara emas' serta kemahiran berlakonnya dengan menjayakan persembahan teater. Meski berskala kecil sekalipun, baginya itu sudah cukup melempiaskan gian muncul di pentas.

Apapun, kini tumpuannya untuk mengukir pencapaian jauh lebih besar terutama dalam arus perdana. Menurutnya, dia percaya terlalu banyak lagi mampu dsajikannya kepada industri muzik.

"Ramai yang tahu sebenarnya dalam nyanyian, kekuatan saya cukup berat kepada lagu-lagu balada. Berbanding di awal kemunculan dulu, saya tak dapat tonjolkan sangat hal itu.

"Dalam GV8, barulah saya dapat buka mata ramai termasuk peminat baharu bahawa saya mampu. Tapi, apa yang saya tonjolkan itu sebenarnya baharu dua peratus dan masih banyak lagi belum dikeluarkan.

"Justeru, ini masanya untuk saya tebus semula dengan cara serta sisi berbeza. Saya boleh katakan Nikki yang 'comeback' ini lebih matang serta teguh pendirian sebagai penghibur," katanya.

Ikat tangan, berselubung 'comforter' demi lagu Sudah

Selepas GV8, Nikki juga tidak tunggu lama menerima tawaran yang cukup bermakna. Dia dipertanggungjawabkan oleh label Indigital Music menjadi penyanyi untuk lagu terakhir Allahyarham Siti Sarah yang belum dirakam.

Sebagai anak teater, Nikki serta-merta menggunakan kaedah menyerap lagu itu dalam dirinya seperti pernah dipelajari. Menurutnya, dia enggan mengecewakan ramai dengan versinya dan perlu dizahirkan cemerlang.

"Sebelum masuk studio rakaman, saya banyak buat eksperimen. Saya adalah anak teater. Jadi, saya sampai ikat tangan dan siap berselubung dalam 'comforter' sambil menyanyi nak tengok hasilnya bagaimana.

"Menyanyi bukan sekadar melontarkan lirik dan disebabkan itu, saya buat semuanya demi nak mendapatkan 'feel' yang tepat untuk lagu yang dirakamkan," katanya.

Nikki berkata, dia turut berdepan komen membandingkan kebolehannya menghidupkan lagu itu dengan versi arwah Siti Sarah.

NIKKI Palikat sedia ‘tawan’ industri hiburan semula.
NIKKI Palikat sedia ‘tawan’ industri hiburan semula.

Apatah lagi, Allahyarham pernah berkongsi video nyanyian santai lagu itu dengan iringan piano.

"Sewaktu arwah nyanyikan lagu itu, versinya lebih mentah dan susunan lagu pun belum tetap. Manakala, terjemahan saya dalam single Sudah ini pula memang cukup berbeza dan mengikut cara sendiri.

"Mengenali Siti Sarah, arwah adalah seorang yang akan mengalu-alukan kreativiti penyanyi lain menyanyikan lagunya. Jadi, saya yakin dengan terjemahan sendiri terhadap lagu Sudah itu," katanya.

Pernah menghasilkan dua album penuh berjudul Maharani pada 2005 dan Hawa (2008), hampir semua lagu Nikki diterbitkan suaminya, Audi. Sekali gus, acuan muzik terdahulunya cukup sebati bersama antara mereka.

Atas alasan itu, dia mengakui suaminya 'menolak' untuk bekerja atau hasilkan lagu buatnya sekarang. Namun, Nikki sendiri faham kenapa Audi memutuskan begitu.

"Oleh kerana saya lebih jelas dengan apa saya mahukan sekarang, suami suruh dapatkan lagu daripada orang lain. Kerana sekarang, masanya saya cuba hasil sentuhan berbeza.

"Lagipun Audi sendiri sudah cukup tahu apa yang boleh dan sesuai untuk saya sajikan. Jadi, pengalaman itu agak biasa berbanding jika bekerja dengan komposer lain.

"Secara peribadi, saya sendiri teringin untuk bekerjasama dengan komposer hebat seperti Aubrey Suwito. Saya tahu beliau memang cukup hebat jika hasilkan lagu balada dengan aura tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 6:00 AM