Wani Kayrie
Wani Kayrie
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kegagalan lagu nyanyiannya, Kamu Kamu melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) ternyata mengecewakan Wani Kayrie.

Perasaan ini diluahkan Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 23, menerusi Instagramnya. 

"Wani jarang nak meluahkan apa-apa tentang perasaan Wani sendiri di platform macam ni tapi hari ini jujur rasa sebak sangat.

"Sebab sedar tak sedar dah genap 8 tahun semenjak kali pertama munculnya Wani Kayrie dengan lagu Jangan Jangan (2015) dan berjaya masuk pencalonan Muzik Muzik untuk kali pertama. 

"Dan setiap tahun berikutnya, Wani selalu mencuba nasib untuk loloskan diri bertanding lagu sendiri di salah satu pentas berprestij di Malaysia namun tidak ada rezeki lagi sehingga ke hari ini," tulisnya. 

Menurutnya kadangkala dia rasa sedih dan tertanya-tanya lagu bagaimana lagi yang patut dipertaruhkan agar orang memandang bakat dan usaha dalam dirinya.

"Wani pun sentiasa cuba untuk explore pelbagai genre lagu, dah bekerja dengan pelbagai komposer yang hebat juga, dah cuba buat lagu ikut trend pun tapi tak pernah berjaya.

"Kadang rasa nak 'give up' (putus asa) dah but because I appreciate my supporters dan listeners a lot (tapi disebabkan sangat menghargai penyokong dan pendengar). Seronok tengok kawan-kawan lama malah yang baru juga dalam industri namun berjaya mendapat pengiktirafan, penghargaan dengan lagu mereka sendiri. 

"Mungkin kena cuba dan tunggu lagi lah kan? Takpelah, Sabar itu kan indah. Apapun, tahniah semua rakan-rakan saya yang mara ke AJL 38," katanya.

Menurut Wani lagi, dia mengibaratkan situasi cuaca hujan lebat seakan memahami isi hatinya. 

Menerusi Separuh Akhir Muzik-Muzik 38, yang berlangsung di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, petang semalam, Wanie menyanyikan lagu ciptaan Ziin dan lirik Jerry. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 11:05 AM