Seungri
Seungri
Agensi

Seoul: Mahkamah Agung Korea Selatan, di sini menjatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan terhadap bekas anggota kumpulan Big Bang, Seungri.

Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung Hyun, 32, didapati bersalah atas sembilan tuduhan melakukan jenayah pada 2020 antaranya pelacuran, perjudian antarabangsa, ugutan serta jenayah berkaitan penyebaran kandungan lucah.

Seungri sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun ketika dibicarakan di Mahkamah Tentera sebelum dikurangkan kepada setahun setengah oleh Mahkamah Tinggi Tentera.

Seungri yang sebelum ini ditahan di penjara tentera sejak Ogos tahun lalu akan dipindahkan ke penjara awam seperti mana yang diperintahkan oleh Mahkamah Agung.

Sehingga 26 Mei lalu, Seungri sudah menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan dan akan dibebaskan pada Februari tahun depan.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif dan kritikan daripada netizen Korea Selatan.

"Hanya setahun setengah hukuman yang dikenakan atas jenayah pelacuran dan penyebaran bahan lucah? 

"Undang-undang Korea Selatan memang tak memihak kepada wanita. Apa pun, saya gembira kerana dia akan menghabiskan masa di dalam penjara," tulis seorang netizen.

"Mana orang-orang yang mengatakan bahawa dia tidak bersalah?" tulis seorang lagi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 10:45 AM