Seungri
Seungri
Agensi

Seoul: Mahkamah rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara terhadap penyanyi Seungri, 31, dari tiga tahun kepada setahun enam bulan selepas dia mengaku bersalah terhadap satu daripada sembilan pertuduhan disabitkan kepadanya, semalam.

Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun mengaku bersalah atas kesalahan penyelewengan polisi tukaran asing berhubung isu perjudian antarabangsa yang disabitkan pada Ogos tahun lalu.

Bekas anggota BIGBANG itu dilaporkan menyesal atas pembabitannya dalam kes berprofil tinggi dikenali sebagai skandal Burning Sun berkenaan menyebabkan mahkamah memutuskan untuk mengurangkan hukuman. 

Pada Julai tahun lalu, Seungri mulanya tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah mahupun sesal. Bahkan, dia sebaliknya menuding kesalahan itu kepada orang lain yang mendapat manfaat besar daripada kegiatan jenayah terbabit.

Susulan daripada perbicaraan pertama itu tahun lalu, Seungri kini masih dipenjara selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap. 

Perbicaraannya dijalankan di mahkamah ketenteraan berikutan kes jenayah itu dibuat sewaktu dia memasuki khidmat tentera. 

Perbicaraan ketiga akan datang bakal dikendalikan Mahkamah Tinggi Korea. Penyanyi itu dijangka akan dibebaskan dari penjara selepas selesai menjalani hukuman berbaki 13 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:57 PM