Seungri
Seungri
Agensi

Seoul: Penyanyi, Seungri yang juga bekas anggota kumpulan BIGBANG dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengatur pelacuran dan perjudian, hari ini.

Seungri, 30, dijatuhkan hukuman itu oleh mahkamah tentera berhubung pembabitannya dalam skandal kelab malam Burning Sun yang menggemparkan seluruh industri hiburan tidak lama dulu.

Dia didapati bersalah dalam semua sembilan pertuduhan terhadapnya. Dia turut diarahkan membayar denda sebanyak RM4.23 juta.

Menurut laporan akhbar Yonhap, mahkamah menyifatkan kesalahan penyanyi itu mencetuskan ancaman yang cukup berbahaya kepada negara.

"Tertuduh (Seungri) mengatur tawaran seksual kepada pelabur asing menerusi pelbagai acara serta bersekongkol dengan rakan perniagaannya Yoo In-suk demi mengaut keuntungan.

"Jenayah itu yang mengkomersialkan seks melanggar norma budaya kita dan benar-benar mendatangkan bahaya besar kepada negara," kata dakwaan itu.

Bulan lalu, pendakwa raya turut memaklumkan Seungri tidak menunjukkan sebarang tanda insaf atau bersalah terhadap jenayah dilakukannya.

Sebaliknya, dia menuding jari kepada orang lain walaupun dia sudah mengaut keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:54 PM