KHAI Bahar.
KHAI Bahar.
Norhayati Nordin


Puchong: Penyanyi dan pelakon, Khai Bahar, 28, berasa malu menonton lakonannya sendiri termasuk menganggap dia masih tidak layak menjadi hero drama kerana masih kekurangan ilmu dan pengalaman dalam lakonan.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin ketika ditemui berkata, dia malu menyaksikan lakonannya kerana masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki walaupun dia 'enjoy' dan seronok berlakon.

"Setakat ini, saya baru berlakon tiga drama iaitu Satukan Rasa, Kisah Cinta Rumi dan Shakira. Alhamdulillah, dapat watak hero walaupun saya rasa diri masih tidak layak lagi untuk berlakon watak utama.

"Saya juga malu tengok lakonan sendiri. Ini kerana lakonan saya banyak yang kurang dan kena belajar lagi bagi memperbaiki apa yang dirasakan masih lemah itu. Contohnya, bermain emosi dalam watak," katanya yang pernah mengikuti kelas lakonan dengan pengarah dan pelakon, Zul Huzaimy.

Mengulas mengenai bayaran tinggi diterima sebagai pelakon, Khai berkata, dia masih kurang pengalaman dan ilmu dalam lakonan, jadi tidak wajar untuk dia meletakkan harga tinggi.

"Harga saya berpatutan dan sesuai dengan komitmen kerja diberikan. Saya terima tawaran berlakon dengan harga yang sesuai. Hingga kini memang saya menerima banyak tawaran berlakon, tapi buat masa sekarang saya tak boleh nak ambil kerana perlu fokus pada muzik dan nyanyian. Saya ingin lunaskan hasrat keluar album tahun ini," katanya.

Menurut Khai, dia mempunyai jadual kerja yang sangat padat dan atas sebab itu dia enggan terkejar-kejar ke sana sini.

Katanya, dia juga tidak mahu terlalu penat bekerja sehingga tiada masa rehat untuk diri sendiri.

"Berlakon memerlukan masa yang panjang di lokasi penggambaran dan jadual saya pula sangat padat. Jadi, saya tak nak ambil risiko untuk kerja lakonan itu. Saya tak nak terkejar-kejar bekerja dan akhirnya sendiri yang penat," katanya.

Terdahulu, Khai yang popular dengan lagu Bayang dan Luluh ditemui media pada majlis ramah mesra sempena lagu Kaulah Syurga nyanyian duetnya bersama penyanyi Lia Aziz yang menjadi lagu tema (OST) drama 7 Hari Mencintaiku 3, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 12:34 PM