MARDIANA sedar nama tidak begitu dikenali kerana tidak pernah dipalit gosip dan cerita sensasi. FOTO Aswadi Alias
MARDIANA sedar nama tidak begitu dikenali kerana tidak pernah dipalit gosip dan cerita sensasi. FOTO Aswadi Alias
Norhayati Nordin


PELAKON teater dan drama, Mardiana Alwi tidak kesal menggunakan nama sebenar sebagai panggilan komersial untuk kerjaya seni diceburi.

Mardiana, 31, berkata dia selesa memilih untuk menggunakan nama sendiri bagi memastikan sentiasa berhati-hati dalam pergaulan kerana membawa nama keluarga.

"Seawal pembabitan dalam kerjaya lakonan sekitar 13 tahun lalu, ada juga yang mempertikaikan kenapa saya memilih untuk guna nama sebenar sebagai panggilan komersial.

"Ini kerana, ada yang beranggapan ia nama kampung dan saya tidak sepatutnya memilih untuk menggunakannya.

"Apapun, saya tidak pernah mempedulikannya kerana yakin dengan pendirian diri lebih baik guna nama sebenar sebagai panggilan komersial,” katanya.

Untuk drama dibintangi, Mardiana cukup dikenali menerusi drama adaptasi novel, Isteri Tuan Ehsan dan Mr Grey.

Tidak pernah dipalit gosip liar sehingga mendirikan rumah tangga, Mardiana berkata, dia menetapkan pendirian bahawa pembabitan dalam kerjaya lakonan adalah untuk kerja semata-mata.

"Sebab itu, kalau berbicara mengenai popular, saya sedar nama tidak begitu dikenali kerana tidak pernah dipalit gosip dan cerita sensasi.

“Namun, selalunya penonton akan ingat watak yang saya lakonkan. Itu sudah cukup bermakna dan menjadi penghargaan buat saya.

"Malah, selama menceburi kerjaya lakonan ini, saya juga tidak terkejar-kejar untuk mendapatkan watak utama. Bagi saya, watak pelakon pembantu pun okey," katanya.

Menurutnya, apa yang diutamakan ialah kepuasan dalam lakonan untuk watak dimainkan dan dia sangat menitik berat kehendak karakter.

Mardiana akan muncul dalam telefilem Lafaz sebagai watak Anom yang disiarkan RTM pada Disember nanti.

Telefilem arahan Hisyamudin Ahmad itu membariskan pelakon lain seperti Qi Razali, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifky, Salina Saibi, Akmal Ahmad, Diana Aqila dan Syed Muhammad Baqir.

Mardiana yang mendirikan rumah tangga dengan jurutera, Abdul Aziz Rahamat pada November 2015 kini dikurniakan seorang anak lelaki, Bilal Abdul Aziz, berusia setahun lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:25 PM